Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap pada taklimat bersama media mengenai Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang akan bermula pada hari ini sehingga 24hb ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap pada taklimat bersama media mengenai Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang akan bermula pada hari ini sehingga 24hb ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2025.

JOHOR BHARU – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak menerima apa-apa aduan mengenai tindakan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan senarai ‘cai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya hanya menerima aduan tidak rasmi berhubung perkara itu.

“Mengikut Pengerusi Jawatankuasa Aduan (Datuk Ahmad Kassim) kita tidak menerima apa-apa aduan rasmi yang kami terima cumalah aduan dalaman,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan taklimat kepada media, hari ini.

Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Rafizi yang mengumumkan senarai pilihannya kurang 48 jam sebelum pemilihan parti itu, esok.

Raifizi menyenaraikan empat nama yang menjadi pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding.

Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.

Untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula, Menteri Ekonomi itu menyenaraikan 25 nama yang terdiri daripada kalangan wakil rakyat, pemimpin muda termasuk penyandang jawatan berkenaan.

Antaranya ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Subang; Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata JPP telah memberikan amaran keras terhadap mana-mana pihak agar tidak melanggar peraturan Pemilihan PKR.

“Apapun kita telah menegaskan dalam Majlis Pimpinan Pusat beberapa tindakan yang akan diambil oleh JPP atas mana-mana aduan berhubung kempen.

“JPP akan berikan amaran keras kalau tidak ada apa juga tindakan daripada pihak terbabit kita akan angkat aduan kepada pihak Jawatankuasa Displin, itu yang telah dipersetujui,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast