Adam Adli

JOHOR BAHRU – Pemimpin muda PKR perlu sentiasa berwaspada ketika berada di tampuk kuasa agar tidak mengulangi kesilapan lampau yang dilakukan kerajaan sebelum ini sehingga membawa kepada kejatuhan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim turut mengingatkan pemimpin muda bahawa pengkhianatan terhadap amanah rakyat akan membawa padah apabila rakyat kembali menarik sokongan.

Tambah beliau, sejarah perjuangan PKR bukanlah bersandarkan kebencian terhadap individu tertentu, tetapi terhadap penyelewengan dan kebobrokan dalam pentadbiran yang mengabaikan rakyat.

“Kuasa bukan alat untuk bermewah-mewah atau mengumpul kekayaan.

“Ini amalan dan praktik lampau yang keji dan tidak boleh kita ulangi.

“Biar kita sentiasa diingatkan, saatnya jika kita membelakangi rakyat, rakyat akan membelakangi kita semula.

Andai itu berlaku terhadap kita, sia-sialah setiap apa yang selama ini diperjuang, dilaung, dan dicita-citakan,” katanya ketika berucap di Kongres Nasional AMK, hari ini.

Adam turut menyifatkan ucapannya sebagai mandat terakhir beliau selaku Ketua AMK, dan memilih untuk menjadikan momen ini sebagai garis panduan penting kepada kepimpinan baharu dalam tempoh mendatang.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menggariskan kepimpinan organisasi sebagai asas kepada kekuatan parti dan kerajaan.

Menyentuh soal pembinaan negara, Adam mengajak para perwakilan untuk memahami dan menghayati gagasan Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adam berkata gagasan itu perlu disemat sebagai satu visi besar membina ketamadunan negara berdasarkan prinsip keadilan, kemampanan dan ihsan.

Beliau turut memfokuskan pada keperluan mendekati golongan belia yang menjadi teras kepada perjuangan AMK.

Katanya, memahami keperluan dan keresahan anak muda amat penting agar perjuangan parti tidak dilihat terasing dari realiti semasa.

“Biar kita faham dengan baik intipati kepada pembinaan sebuah peradaban dan ketamadunan, yang disulam semangat Islah atau Reformasi yang diperjuangkan kita semua,” ujar beliau.

Dalam konteks geopolitik dan perkembangan global, Adam menyeru agar AMK bersiap siaga dengan pandangan yang luas dan matang terutama menjelang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Beliau mengajak anak muda untuk mengisi peranan tersebut dengan wibawa dan pemikiran yang progresif.

“Andai kita berhasil mempengerusikan ASEAN dengan gemilang, tiada yang mampu menghalang kita untuk menjadi kuasa besar global yang suaranya akan sentiasa didengari oleh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kau pun hanyut. ceramah himpunan macam tin kosong tapi semuanya cakap warung kopi. makan gaji buta mengalahkan hadi awang

Comments are closed.