Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas selesai menjalankan tanggungjawab membuang undi secara dalam talian pada Pemilihan PKR Peringkat Pusat ketika di Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak melakukan sebarang tapisan peribadi terhadap mana-mana calon yang berhasrat untuk merebut jawatan dalam pemilihan parti kali ini.

Jelasnya, beliau meluluskan semua permohonan yang lengkap dan mengikut peraturan serta sudah diproses ibu pejabat PKR tanpa sebarang diskriminasi.

“Jika saya luluskan beberapa dan tolak yang lain, itu akan menjadi isu. Jadi semua yang telah diproses oleh ibu pejabat (bagi pastikan tiada yang) bankrap atau sebagainya, saya luluskan semuanya” katanya ketika ditanya berhubung isu kelulusan calon untuk pemilihan parti seperti yang dibangkitkan Datuk Seri Rafizi Ramli minggu ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR itu mencadangkan hanya ahli yang mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman di dalam parti sahaja dibenarkan bertanding dalam Pemilihan PKR.

Menurut Rafizi, langkah tersebut penting bagi mengelakkan pemimpin ‘mi segera’ terus melompat ke jawatan tertinggi tanpa melalui proses akar umbi.

Malah beliau mendakwa, langkah tersebut kadang-kala berlaku dengan kelulusan presiden parti.

Antara tokoh yang dikaitkan dengan isu itu ialah Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan yang menyertai PKR pada 2020 selepas meninggalkan MIC enam tahun sebelumnya.

Ramanan kini bertanding bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR tahun ini.

Sehubungan itu Anwar hari ini menjelaskan, pendekatan terbuka diambil demi menjaga ketelusan dan mengelakkan dakwaan pilih kasih.

“Saya beritahu majlis kepimpinan, jika mereka kemukakan kepada saya, saya tidak mahu tapis kerana itu akan menimbulkan masalah,” tambah beliau. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast