KUALA LUMPUR – Aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fairul al-Qasas menggesa Perlembagaan parti itu dipinda supaya sistem satu ahli mewakili satu undi dikembalikan semula.
Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau berkata, sistem itu sekiranya dilakukan diyakini dapat mengembalikan semula keyakinan ahli PKR, seterusnya memilih untuk kekal berada dalam perjuangan parti tersebut.
Menurut beliau, PKR sepatutnya berasa bangga untuk mengembalikan semula sistem satu ahli satu undi itu kerana tidak ada parti politik lain yang berani melakukannya.
“1 ahli 1 undi adalah sistem agak kalis kepada politik wang. Modal untuk ‘jaga’ semua ahli adalah terlalu besar, berbanding modal menjaga perwakilan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Menurut beliau, disebabkan ahli PKR juga adalah rakyat, maka mereka yang terpilih menerusi sistem satu undi satu perwakilan akan turut fokus untuk menjaga rakyat, membuat program yang bermanfaat untuk rakyat dan mencerdikkan rakyat.
“Berbanding sistem baru di mana ada penguasa berjawatan di Putrajaya yang sibuk turun ke Cabang-cabang untuk ‘jaga’ ahli.
“Akibatnya yang sibuk menjaga rakyat di Putrajaya, ketinggalan dan akhirnya disingkirkan dengan alasan ‘tidak menjaga ahli’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan sistem pemilihan yang diguna pakai ketika ini yang mana meskipun konsep satu undi satu perwakilan di peringkat Cabang PKR masih dikekalkan, namun hanya ahli yang berdaftar dengan kaedah e-KYC layak mengundi.
Jelas beliau, keadaan itu telah menafikan hak ribuan ahli lain apabila mereka tidak mengemaskini e-KYC.
“Sedangkan pada 2019, Parlimen telah meluluskan pendaftaran pengundian secara automatik untuk mereka yang berumur 18 tahun.
“Sebaliknya dalam mengejar ketelusan, Keadilan telah menafikan hak ahli yang lain untuk mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette
















