KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang tidak melepaskan peluang untuk memperkenalkan eko-pelancongan menerusi empat buku baharu terbitannya kepada hampir 2 juta pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain buku, PBAKL merupakan platform strategik untuk memperkenalkan tarikan semulajadi di Pahang bukan sahaja pengunjung tempatan, bahkan luar negara.
“Ini satu usaha sangat baik untuk memupuk budaya membaca dan dalam masa saya dapat memperkenalkan Pahang, apa yang ada di Pahang dan banyak sebenarnya tarikan di Pahang berbanding tempat-tempat lain.
“Kalau kita sebut Pahang, semuanya ada di Pahang, contohnya cuaca yang baik, pulau yang cantik, gunung yang tinggi, bukit, sungai, hutan dan macam-macam lagi. Masakan dari Pahang tidak mengecewakan, kita ada Patin Tempoyak yang sangat popular sekarang ini.
“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kita jemput semua pengunjung supaya datang ke Pahang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Dan Pristine Pahang sempena PBAKL ke-42 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Antara empat judul buku baharu itu ialah Pahang – Faces of The Forests; Orang Asal – Dances Among the Trees; The Colours of Arboretum Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah serta Sketch Kuala Lipis: Bandar Warisan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, untuk menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri Pahang akan mengedarkan empat judul buku ke institusi pengajian tinggi serta sekolah.
“Edar buku ini ke sekolah-sekolah dan IPT itu idea kita, sebab buku-buku ini kalau kita tidak edarkan, maklumatnya tidak diketahui ramai orang, dia hanya tinggal begitu sahaja, sebab itu kita cuba edarkan setakat mana yang boleh.
“Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa (keluarkan buku dalam edisi digital).
“Itu idea yang baik (terjemah buku untuk pasaran antarabangsa) sebab pengunjung kita bukannya tempatan sahaja, warga asing pun ada, kalau kita boleh buat terjemahan lagi bagus,” katanya lagi.
Selain itu, katanya, untuk menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat, PBAKL itu akan diteruskan di Pahang, hujung tahun ini.
“Suka saya umumkan Pesta Buku Pahang 2025 akan berlangsung pada 25 Oktober sehingga 2 November 2025 nanti, dan saya menjemput semua untuk hadir memeriahkan acara yang membudayakan pembacaan sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette
















