KUALA LUMPUR – Tourism Selangor dan Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan, Lincoln University College (LUC) menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dalam usaha membangunkan destinasi pelancongan mampan, khususnya di kawasan Batu Arang yang sarat dengan nilai sejarah, budaya dan warisan industri.
Batu Arang yang dibuka sejak 1913, merupakan antara permata tersembunyi di Selangor dan kini menjadi sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark yang sedang dipersiapkan bagi pengiktirafan UNESCO Global Geopark menjelang tahun 2028.
Kawasan itu berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berteraskan warisan dan pendidikan yang mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Sebagai langkah awal pelaksanaan MoC itu, satu projek lapangan bertajuk “Pembangunan Pakej Pelancongan dan Pemetaan Produk Pelancongan dan Pembangunan Komuniti, di Batu Arang, Gombak-Hulu Langat Geopark” telah dimulakan pada 28 Februari lalu.
Projek itu melibatkan penyertaan aktif pensyarah, pelajar serta kakitangan LUC dengan kerjasama penuh Tourism Selangor dari segi penyediaan taklimat lokasi, pemetaan aset pelancongan dan sokongan logistik.
Antara objektif utama projek itu termasuk menilai keadaan semasa komuniti dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar serta membangunkan pakej pelancongan komuniti yang menonjolkan elemen warisan industri, budaya setempat serta tarikan semula jadi.
Selain itu, projek tersebut juga bertujuan menyediakan peta budaya (curated cultural map) dan dokumentasi aset pelancongan seperti tapak bersejarah serta laluan eko-pelancongan dan lokasi seni budaya.
Dalam masa sama, projek itu diharapkan dapat menggalakkan penglibatan komuniti tempatan, pengusaha pelancongan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memacu pembangunan lestari; serta merangka strategi promosi, penambahbaikan infrastruktur dan penglibatan masyarakat secara inklusif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lincoln University College, Datuk Dr. Mohd Yusoff A. Bakar berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan Tourism Selangor menerusi projek tersebut.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang penyelidikan dan pembangunan, malah memupuk semangat kerjasama industri-akademia yang mampu memberi impak langsung kepada komuniti setempat,” katanya pada majlis pertukaran MoC itu baru-baru ini.
Pada majlis itu, Mohd. Yusoff mewakili Lincoln University College, manakala Tourism Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Chua Yee Ling.
Yang turut hadir, Pro Dekan Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan Lincoln University College, Tuan Nur Fathiah Tuan Anuar serta Pengurus Pembangunan Produk dan Pakej Tourism Selangor, S. Renuga Devi.
Sementara itu, Yee Ling berkata, kerjasama tersebut merupakan simbolik permulaan kepada inisiatif jangka panjang dalam memperkasakan geotapak seperti Batu Arang sebagai hab pelancongan warisan dan pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Dengan penglibatan lebih 200 pelajar dan pensyarah setiap tahun dalam aktiviti lapangan, penyelidikan, penciptaan kandungan dan lawatan, kami percaya usaha ini akan menyumbang kepada pemerkasaan komuniti serta kelestarian ekonomi setempat,” katanya. – MalaysiaGazette
















