Ahmad menyampaikan sijil kepada penerima selepas Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, Pontian hari ini.

PONTIAN – Kehadiran ahli dalam persidangan cawangan UMNO di seluruh negara dilihat memberangsangkan dan memuaskan setakat ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkembangan itu menjadi petunjuk parti tersebut sedang bangkit selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini.

Jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor, maklum balas yang diterima dari pelbagai bahagian menunjukkan persidangan itu mendapat sambutan baik akar umbi.

“Sambutan baik ini juga dipacu oleh keyakinan ahli terhadap kebangkitan semula UMNO selepas mencatat kejayaan dalam lima siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

“Kejayaan UMNO mempertahankan kerusi dalam PRK seperti di Tioman, Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning memberi impak positif kepada semangat ahli akar umbi untuk terus menyokong perjuangan parti

“Ini petanda UMNO masih kukuh. Kita bukan parti yang hanya bergantung kepada bahagian, sebaliknya kita berakar daripada lebih 21,000 cawangan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai di sini hari ini.

Pada 12 Mac lalu, mesyuarat Ahli MKT UMNO memutuskan tarikh untuk mengadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan pada 7 April hingga 25 Mei.

Seterusnya Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bermula 9 Jun hingga 27 Julai dan Perhimpunan Agung UMNO dari 20 hingga 23 Ogos.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan bahawa mana-mana cawangan yang belum mengadakan persidangan boleh memohon lanjutan tempoh, meskipun tarikh akhir asal ditetapkan pada 25 Mei lalu.

“Kebiasaannya, semasa saya menjadi Setiausaha Agung dahulu, kita beri lanjutan sehingga seminggu untuk membolehkan semua cawangan selesai bermesyuarat,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast