70 orang guru dari seluruh negara telah menamatkan latihan formal dalam membina Kecerdasan Emosi melalui Program Guru KARISMA (Karakter Inspirasi Masyarakat) - sebuah inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang setahun yang direka dan dikendalikan oleh Arus Academy.

KUALA LUMPUR – Ketika Malaysia bersiap sedia untuk pelaksanaan Kurikulum 2027 yang akan membawa pendekatan pembelajaran berasaskan nilai dan berpusatkan murid ke dalam bilik darjah, satu inisiatif latihan berfokus sedang dilaksanakan bagi mempersiapkan guru untuk memimpin transformasi berkenaan.

Pendekatan itu memberi tumpuan kepada strategi praktikal yang menggalakkan perkembangan emosi, empati, dan hubungan yang lebih kukuh antara guru dan murid.

Buat pertama kali, 70 orang guru dari seluruh negara telah menamatkan latihan formal dalam membina Kecerdasan Emosi melalui Program Guru KARISMA (Karakter Inspirasi Masyarakat) – sebuah inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang setahun yang direka dan dikendalikan oleh Arus Academy.

Ia mendapat pembiayaan penuh oleh Yayasan Hasanah iaitu sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional dan Kementerian Kewangan.

Pendidikan karakter dan Pembelajaran Sosial dan Emosi (SEL) ialah pendekatan proaktif dalam pendidikan yang membantu murid memahami dan mengurus emosi mereka, membina empati, berkomunikasi dengan berkesan, menyelesaikan konflik dan bekerjasama dengan orang lain – iaitu kemahiran yang menyokong kejayaan akademik, kesejahteraan mental dan tingkah laku positif sepanjang hayat.

Pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir berkata, kemuncak program bersempena Sidang Guru Kemuncak KARISMA 2025 telah menghimpunkan 300 orang pendidik termasuk 70 orang peserta terlatih dalam satu sidang peringkat kebangsaan yang
berlangsung selama satu hari.

Alina Amir

Sidang berkenaan menggabungkan bengkel bersama pakar, pameran aktiviti bilik darjah dan perbincangan panel yang memfokuskan pendidikan holistik.

“Para guru meneroka bagaimana untuk menerapkan SEL ke dalam subjek-subjek akademik dan ini merupakan keperluan yang semakin penting di bawah Kurikulum 2027.

“Kurikulum 2027 bakal mengubah peranan guru dan mereka bukan sekadar sebagai penyampai kandungan pembelajaran sahaja—mereka berperanan untuk membentuk golongan muda yang bijak mengurus emosi dan mementingkan nilai dalam sesuatu perkara,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Program Guru KARISMA mempersiapkan para guru dengan alatan dan penetapan minda untuk mencipta suasana pembelajaran yang bermakna.

“Objektif persidangan ini untuk memperkasakan kerjaya perguruan dengan mempersiapkan para pendidik untuk memenuhi keperluan emosi dan sosial murid-murid hari ini dengan penuh keyakinan serta keprihatinan,” katanya.

Selain itu, persidangan yang sama turut menampilkan pameran kebangsaan yang mengandungi lebih daripada 125 aktiviti bilik darjah dan 70 projek penyelidikan tindakan yang dikendalikan oleh kohort pertama KARISMA.

Aktiviti itu menunjukkan bagaimana amalan SEL dapat mempertingkatkan penglibatan murid, mengurangkan konflik dalam bilik darjah dan membina perhubungan interpersonal yang lebih kukuh dalam persekitaran pembelajaran.

Pakar SEL antarabangsa iaitu Keeth Matheny yang juga merupakan pengasas SEL Launchpad turut menyertai persidangan tersebut.

Sementara itu, Pemegang Amanah dan Pegarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, apabila melatih guru untuk memimpin dengan sifat empati dan niat, ia bukan sahaja dapat mengubah persekitaran bilik darjah.

“Sebagai yayasan pemangkin, Yayasan Hasanah komited untuk mendorong pembaharuan sistemik yang berteraskan insan dalam pendidikan. Melalui Program Guru KARISMA, kami melabur dalam guru sebagai agen perubahan – bahagian penting dalam ekosistem yang menyokong pertumbuhan anak-anak kita,” ujarnya.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan Kiaramas, Sarinah Suratman, bengkel yang dijalankan selama setahun ini telah membuka matanya terhadap kepentingan penerokaan Pembelajaran Sosial dan Emosi yang bukan sahaja melibatkan murid malah melibatkan guru.

“SEL memberi saya alat untuk mengurus emosi sendiri dengan lebih baik sekaligus menjadikan saya seorang pendidik yang lebih seimbang dan berkesan,” katanya.

Bagi guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Yoke, Christina Pang Kang Jing, ramai murid zaman sekarang berdepan cabaran seperti cabaran untuk fokus, keresahan dan konflik rakan sebaya.

Christina Pang

“Sebagai guru, biasanya kita tidak mempunyai kaedah berkesan untuk menangani isu-isu ini yang tidak melibatkan akademik.

“Oleh itu, program ini menyediakan pelbagai kaedah praktikal menggabungkan pembelajaran sosial dan emosi ke dalam pembelajaran harian justeru membantu murid untuk menguruskan emosi, bekerjasama dengan lebih baik serta membina perhubungan yang lebih kukuh dalam bilik darjah,” katanya.

Inisiatif itu sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 khususnya dalam penekanan pembangunan murid yang holistik, pemerolehan kemahiran abad ke-21 dan pembentukan rakyat beretika serta berpikiran global.

Selain itu, ia juga menyokong komitmen pendidikan global di
bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4.7 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast