Daniel Gooi meninjau perkembangan projek pembangunan kemudahan kesihatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) membabitkan kos keseluruhan RM758 juta.

GEORGE TOWN – Tiga projek pembangunan kemudahan kesihatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) membabitkan kos keseluruhan RM758 juta kini sedang dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha memperkasa sistem penjagaan kesihatan awam di negeri ini.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, tiga projek tersebut terdiri daripada pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak, Blok Baharu Pusat Perkhidmatan Stem Sel serta Blok Klinik Pakar dan Wad.

“Blok Wanita dan Kanak-Kanak merupakan komponen terbesar dengan peruntukan sebanyak RM307 juta. Ia sedang dibangunkan melalui kaedah reka dan bina serta dijangka siap pada Januari 2026.

“Projek itu melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat 12 tingkat, diikuti blok hospital lapan tingkat yang mampu menempatkan 329 katil.

“Kemudahan lain turut disediakan termasuk kafeteria, taman permainan, surau serta perkhidmatan utama seperti rawatan pesakit luar dan dalam, diagnostik serta perkhidmatan sokongan,” katanya selepas meninjau perkembangan projek-projek berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Daniel Gooi berkata, projek kedua iaitu Blok Baharu Pusat Perkhidmatan Stem Sel pula bernilai RM23 juta dan kini sedang dibangunkan secara konvensional di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Projek ini dijadualkan siap pada Mac 2027 dan bertujuan menambah baik perkhidmatan pemindahan sum-sum tulang termasuk transplan allogeneik, unit apheresis serta makmal stem sel. Ia juga merangkumi pembinaan prasarana sokongan seperti tempat letak kereta, jambatan penghubung dan bangunan sokongan.

“Manakala projek ketiga melibatkan pembinaan Blok Klinik Pakar dan Wad dengan kos RM428 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2029.

“Bangunan setinggi 14 tingkat itu akan menempatkan klinik pakar dari tingkat satu hingga 11, manakala wad pesakit akan disediakan di tingkat 12 hingga 14 dengan kapasiti 216 katil. Ruang parkir turut dibina dari tingkat dua hingga tujuh,” katanya.

Tambah Daniel Gooi, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi ini selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur kesihatan serta menjamin akses rawatan berkualiti dan menyeluruh kepada seluruh rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast