YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim melihat pembentangan konsep Kota Madani di Putrajaya. 3 Jun 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kota MADANI di Putrajaya bukan kota Anwar dan juga bukan projek golongan elit serta jauh daripada sindrom pencakar langit yang melanda kerajaan-kerajaan sebelum ini, tegas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivamalar Genapathy.

Sambil menafikan semua tohmahan yang dilemparkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, Sivamalar menjelaskan, Kota Madani adalah penyelesaian konkrit kepada isu legasi perumahan awam di Putrajaya.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara 2021 mengesahkan bahawa hampir 18,0000 penjawat awam masih berada dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/06/04/cari-nama-lain-bagi-projek-kota-madani-wan-saiful/

https://malaysiagazette.com/2025/06/04/sekolah-vertikal-di-kota-madani-dibangun-dengan-syarat-ketat-pm/

Namun begitu, tiada pembangunan kuarters baharu telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Justeru itu, Kota MADANI akan menyediakan 10,000-unit yang dikhaskan sebagai kuarters untuk penjawat awam yang boleh menempatkan sehingga 30,000 penduduk.

“Ini bukan sekadar angka tetapi ia adalah komitmen sebenar untuk memenuhi hak dan keperluan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang pentadbiran negara dan menyelesaikan isu ketidakseimbangan permohonan kuarters oleh penjawat awam dengan jumlah sebenar kuarters yang tersedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau,  dari segi reka bentuk dan perancangan, Kota MADANI menawarkan model pembangunan bandar yang inklusif dan mampan.

Ia adalah sebuah bandar yang direka untuk memudahkan kehidupan seharian rakyat, di mana semua kemudahan asas seperti sekolah, kedai runcit, perbankan, tadika, medan selera, dan dewan komuniti boleh dicapai dalam jarak jalan kaki tidak melebihi 15 minit dari kediaman.

Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan, malah meningkatkan kualiti hidup penduduk. Selain itu, ini juga akan melengkapkan ciri bandar bersifat walkable city yang moden dan mesra rakyat.

“Kenyataan YB Wan Saiful hanyalah satu lagi percubaan politik lama yang cuba menggagalkan usaha pembaharuan kerajaan.

“Sekiranya beliau benar-benar peduli terhadap kebajikan rakyat, seharusnya beliau menyokong projek yang menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam dan pekerja bandar, bukannya menabur fitnah dan memburukkan inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat.

“Politik sinikal dan retorik tanpa fakta seperti ini sudah lapuk dan tidak lagi relevan dalam landskap Malaysia baharu yang mahu maju ke hadapan dengan dasar yang adil, saksama dan menyeluruh,” kata Sivamalar lagi.

Tambah beliau, Kota MADANI bukan kota retorik, tetapi bukti kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar bukan sekadar menabur janji tetapi menyampaikan penyelesaian konkrit kepada isu-isu yang telah lama dibiarkan tanpa perhatian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast