Gambar : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut

KUANTAN – Sebanyak 75 buah rumah dilaporkan terjejas susulan ribut melanda sekitar daerah Temerloh  dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Temerloh memaklumkan, kejadian membabitkan 74 kediaman di Mukim Perak 2 dan sebuah rumah di Mentakab 2.

“Taman Sri Kerinau di Perak 2 paling teruk terjejas melibatkan kerosakan 59 buah rumah.

“Selain itu, enam buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan di Taman Pamah Kasih, lima di Kampung Pulau Terap dan masing-masing dua buah rumah terjejas di Tama  Pulak Bistari dan Kampung Batu 4 1/2 Jalan Maran,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah JPBD Temerloh, sebuah rumah di Kampung Tuk Embun, Mentakab 2 turut mengalami kerosakan akibat kejadian ribut itu.

Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa direkodkan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat jam 1 pagi tadi.

Terdahulu, pengguna di media sosial berkongsi klip-klip video sejak petang semalam memaparkan premis-premis yang rosak teruk susulan kejadian ribut itu.

Selain premis kediaman, bangunan sekolah dan premis perniagaan turut dilihat mengalami kerosakan selain terdapat kenderaan yang rosak terkena pokok tumbang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast