KUANTAN – Sebuah bas membawa 28 penumpang dilaporkan merempuh sebuah lori treler di Kilometer 161 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Maran lewat tengah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, pihaknya meneima laporan berhubung kejadian pada pukul 1 pagi tadi.
Semasa kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bas Selatan, Kuala Lumpur menghala ke Terminal Sentral Kuantan dengan membawa seramai 28 orang penumpang.
“Apabila tiba di lorong kiri dekat Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (Arah Timur), pemandu bas tiba-tiba ia terlanggar belakang sebuah lori treler jenis Nissan MK262 yang sedang bergerak lurus di hadapannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, semua 28 orang penumpang bas termasuk pemandu lori berusia 40 tahun dan kelindannya berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan.
Susulan kejadian itu para penumpang dipindahkan menaiki sebuah bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan.
Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian pemandu bas.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















