Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu dirinya akan didapati bersalah sekiranya beliau dihadapkan ke mahkamah.

Oleh sebab itu, Anwar cuba elak dari dihadapkan ke mahkamah dengan dakwaan  Perlembagaan memperuntukkan kekebalan kepada Perdana Menteri.

“Kenapa cuba elak dari dibicara di mahkamah? “Kerana Datuk Seri Anwar tahu dirinya akan didapati bersalah. Kalau tetap menang tentulah lebih baik jika mahkamah mendapati dirinya tidak bersalah.

“Kalau diberi imuniti berkenaan satu kes, tak akan kes lain tidak immune. Tentu immune punya. Jadi, perdana menteri boleh bunuh orang pun okaylah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dr. Mahathir mendakwa, di Malaysia pelaksanaan undang-undang dilaksakan secara pilih bulu.

Katanya, bagi seseorang yang sudah dihukum bersalah oleh Mahkamah Tinggi tetapi, hukuman tidak dilaksana kerana kononnya menunggu keputusan rayuan.

Bagaimanapun dakwanya, apabila rayuan di mahkamah turut mendapati seseorang itu bersalah namun, hukuman masih juga tidak dilaksanakan.

Ujarnya, bagi orang lain, belum pun dibicara di mahkamah hanya semasa siasatan, mereka akan dimasuk dalam tahanan berbulan-bulan, harta dirampas dan keluarga ditekan.

“Pendek kata sebelum pun didapati bersalah sudah dihukum, didera. Itu bagi orang lain.

“Jelaslah, walaupun tertakluk kepada undang-undang yang sama tetapi, pelaksanaan tidak sama,” katanya.

Dr Mahathir mengakhiri tulisannya dengan berkata, memang benar dalam kes seperti membunuh atau mengedar dadah yang dituduh boleh dimasuk dalam tahanan sementara siasatan dibuat.

Namun katanya, kerap juga kes yang tidak serius, dimasuk dalam tahanan juga, kemudian dibebas tanpa sebab.

“Inilah reformasi yang dilaung, dijanji. Jelaslah siapa kaki bohong,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast