Dr Zuhan Mohd Zain

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor melahirkan harapan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peluang dalam Kabinet sekiranya melakukan rombakan susulan peletakan jawatan dua menteri baru-baru ini.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, pihaknya sedar kuota untuk dua jawatan menteri tersebut adalah milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi ketika ini ada parti lain yang sudah membuat tuntutan.

“Memang benar kekosongan dua kementerian itu merupakan kuota PKR, namun apabila UMNO mula mencadangkan pemimpin dari luar PKR maka ia membuka ruang kepada semua parti dalam gabungan kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan calon masing-masing.

“Ini termasuk UMNO yang dilihat mengemukakan nama pemimpin yang telah dipecat keahlian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, permohonan Amanah Johor wajar dipertimbangkan memandangkan prestasi cemerlang pemimpin-pemimpin parti berkenaan dalam kerajaan selama ini.

“Kepimpinan Amanah sentiasa komited mempertahankan kerajaan Perpaduan daripada serangan pihak lawan. Kami yakin dengan kemampuan pemimpin kami untuk terus memperkukuh pentadbiran negara,” katanya.

Zuhan turut menyifatkan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam memperjuangkan agenda rahmah serta prestasi Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai bukti kesungguhan Amanah.

Beliau turut menyebut prestasi membanggakan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta timbalan menteri seperti Adly Zahari dan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Dua anggota Kabinet sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan daripada pentadbiran kerajaan Perpaduan selepas masing-masing tewas dalam pemilihan pada bulan lalu.

Melibatkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan disandang dalam PKR.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast