Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan tiada sekatan terhadap individu didakwa dihalang daripada meninggalkan negara pada 6 Jun lalu seperti yang tular di media sosial dan laporan media. 

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan memaklumkan tiada halangan bagi individu tersebut untuk membuat perjalanan ke luar negara.

“Namun begitu, sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri.

“Jabatan ini juga mengambil maklum berkenaan kekeliruan yang timbul susulan perbezaan paparan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi.

“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian dan telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria menambah, pihaknya sedang menjalankan semakan teknikal secara dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat dipaparkan dalam semua versi bahasa tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

“JIM sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang, dengan menjunjung prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam semua aspek penyampaian perkhidmatan,” ujarnya.

Terdahulu, aktivis dan pereka grafik bebas, Fahmi Reza mempersoalkan ketelusan sistem JIM susulan dakwaan sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadapnya walaupun pihak berkuasa sebelum ini menafikan perkara tersebut.

Dalam video yang dimuat naik ke Facebook pada Khamis, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin menunjukkan hasil semakan terbaharu di laman web JIM memaparkan mesej ‘sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat’ menandakan wujud sekatan aktif terhadap dirinya.

Namun semakan menerusi versi bahasa Inggeris laman web sama menunjukkan keputusan berbeza iaitu no restriction (tiada sekatan), sekali gus mencetuskan kekeliruan dan tanda tanya mengenai ketelusan sistem sedia ada.

Fahmi turut memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang sebelum ini menegaskan tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap dirinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast