Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua kiri) dan Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua kanan) ketika gimik perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara perlu beralih daripada sistem yang merawat penyakit kepada sistem yang menggalakkan kesejahteraan rakyat sepanjang hayat.

Menurut Perdana Menteri, jangka hayat rakyat Malaysia hari ini secara puratanya mampu mencecah usia 76 tahun, namun mampu hidup secara sihat setakat usia kira-kira 67 tahun.

Ujar beliau, ia bermakna terdapat sembilan tahun di mana rakyat berada dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, mengalami ketidakupayaan atau kualiti hidup yang merosot.

Jelas beliau, jurang itu pula tidak menunjukkan peningkatan sepanjang dua dekad lalu, malah semakin melebar berbanding 8.6 tahun sejak 2000.

“Ini menunjukkan bahawa hidup lebih lama tidak semestinya bermakna hidup dengan lebih baik.

“Ia merupakan satu wake up call untuk kita memberi penekanan yang lebih besar terhadap pelaburan dalam kesihatan terutamanya dalam penjagaan kesihatan, pendidikan kesihatan awam dan sistem sokongan berasaskan komuniti,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tegah) bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga kiri) dan Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali (tiga kanan) bergambar selepas gimik perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JUN 2025

Beliau berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Anwar, penggubal dasar awam perlu menyedari peningkatan jangka hayat merupakan satu bentuk transformasi masyarakat da bukan sekadar trend, sekali gus perlu bersedia dengan perubahan tersebut.

Dalam masa sama, beliau memuji langkah KWSP dalam meneroka pendekatan baharu bagi meningkatkan kecukupan persaraan rakyat.

Menurutnya, trend jangka hayat yang semakin panjang itu memerlukan supaya tumpuan kini beralih daripada simpanan kepada pendapatan persaraan yang mapan atau mencukupi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JUN 2025

“Kita juga mesti mula memikirkan bagaimana untuk membina satu sistem yang mencerminkan solidariti yang lebih besar, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pendapatan seumur hidup yang terhad.

“Dalam visi kerajaan Madani, tiada rakyat Malaysia yang sepatutnya meniti usia tua dalam ketakutan terhadap kemiskinan dan pengabaian,” katanya.

Apatah lagi, tambah Anwar, warga emas hari ini kebanyakan lebih sihat, lebih berpendidikan dan lebih berkeupayaan berbanding sebelum ini.

Sehubungan itu, jelasnya, dengan sokongan yang tepat, ramai daripada mereka masih boleh terus menyumbang melalui pekerjaan, bimbingan atau berkhidmat kepada komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast