Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sesi soal jawab pada Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di Hilton Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 JUN 2025

KUALA LUMPUR – ASEAN sedang giat memperkukuh perjanjian perdagangan sedia ada dengan rakan-rakan dialognya bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting dalam mengekang gelombang perlindungan perdagangan yang semakin meningkat di samping memperkukuh integrasi serantau serta menangani risiko perpecahan ekonomi antara negara-negara ASEAN.

“Perdagangan bukan sekadar aktiviti ekonomi, ia adalah tunjang kepada kestabilan serantau. Apabila perdagangan merosot, ketegangan dan perpecahan akan muncul.

”Oleh itu, ASEAN perlu bersatu dalam memajukan hubungan ekonomi dan memanfaatkan pemangkin masa depan seperti transformasi digital, kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) serta peralihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di ibu negara, hari ini.

Sambung beliau lagi, kepercayaan terhadap prinsip asas ASEAN perlu terus dipertahankan malah diperluaskan bagi menjadikan blok ini kekal relevan dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.

“Kita perlu bersedia menghadapi dunia yang kian mencabar dengan tekad yang kukuh untuk melangkah ke hadapan. Ini termasuk memodenkan kerangka perdagangan yang kita miliki dan meningkatkan daya saing serantau,” ujarnya.

Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-38 yang sedang berlangsung ketika ini menghimpunkan pemikir, pembuat dasar dan pemimpin industri dari seluruh rantau bagi membincangkan hala tuju ekonomi dan keselamatan Asia Pasifik dalam era pasca-pandemik dan ketidaktentuan geopolitik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast