Kunjungan hormat dari State Audit Institute, Sultanate of Oman di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA – Malaysia yang terkenal dengan usaha antirasuah yang kukuh dan tahap ketelusan tinggi telah menarik perhatian Institusi Audit Negara (SAI) Oman untuk menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengerusi Audit bagi Pihak Berkuasa, Pelaburan dan Syarikat SAI Oman, Zahra Mohamed Al Lawati berkata, SPRM yang telah lama ditubuhkan mempunyai reputasi baik dan pengalaman meluas termasuk daripada segi latihan yang diberikan melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

“Oleh itu, kami berharap dapat menjalin dan memperkukuh kolaborasi ini memandangkan institusi audit negara dan antirasuah di Oman berada di bawah satu payung pentadbiran sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Kunjungan rasmi kali pertama oleh delegasi SAI itu menunjukkan komitmen serius dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus.

SAI adalah sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Sultan Oman dan diberi tanggungjawab untuk pengawasan kawalan kewangan serta pentadbiran merangkumi audit, pemantauan prestasi, pengurusan pelaburan dan pemantauan pelanggaran kewangan.

Institusi ini telah mencatat peningkatan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024, menunjukkan hasil positif daripada usaha tadbir urusnya.

Menegaskan kepentingan usaha global bersama, Azam berkata, kerjasama rentas negara adalah penting dalam memerangi rasuah malah pertukaran ilmu dan pengalaman ini membolehkan kedua-dua agensi memperkukuh sistem integriti serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara.

Beliau juga menekankan dialog seperti ini adalah asas dalam membina jaringan integriti tanpa sempadan.

“Melalui latihan bersama, pertukaran data strategik dan penglibatan dalam forum antarabangsa, kedua-dua agensi berharap dapat terus menegakkan integriti dan ketelusan dalam institusi awam masing-masing melebihi batas geografi dan budaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast