KLUANG – UMNO Johor akan membawa usul UMNO Bahagian Sembrong agar bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang masih digantung keahliannya diterima semula dalam parti.
Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sumbangan peranan Hishammuddin yang juga bekas UMNO Bahagian Sembrong amat besar malah terhadap perjalanan politiknya sendiri semasa mula bertapak.
Menteri Besar Johor itu menganggap Hishammuddin sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.
“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan. Dan orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di Dewan Dato Onn, Rumah Komuniti Sembrong di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, walaupun Hishammuddin tidak hadir dalam majlis itu, usul yang dikemukakan bahagian tersebut mencerminkan penghargaan ahli akar umbi terhadap kepimpinannya.
“Saya dimaklumkan ada usul supaya pucuk pimpinan UMNO mempertimbangkan semula untuk menerima beliau kembali di peringkat UMNO Bahagian Sembrong.
“Insya-Allah, sebagai Pengerusi UMNO Johor, saya akan bawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya.
Untuk rekod, berdasarkan surat rasmi diterima Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Surat bertarikh 30 Januari 2022 itu ditandatangani Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertindak sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu.
Selain Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turut digantung keahlian selama enam tahun.
Bagaimanapun pada 11 Disember lalu, media melaporkan Hishammuddin mengulangi pendirian untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya.
Ini selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun ditarik balik selepas menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti.
Ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan untuk kembali kepada UMNO, atas alasan sehingga ke hari ini tidak tahu punca penggantungannya selama enam tahun.- MalaysiaGazette
















