Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media berkenaan perlantikan Perdana Menteri ke atas anggota-anggota kanan kehakiman dan Ketua Polis Negara ketika di Wisma Sri Tamadun, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Wujud persepsi yang jelas dalam kalangan rakyat ketika ini yang mana berlaku campur tangan Perdana Menteri dalam sistem kehakiman negara termasuk dalam soal pelantikan hakim-hakim baharu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, rakyat juga melihat terdapat usaha-usaha yang menunjukkan Perdana Menteri menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi keputusan melibatkan aspek undang-undang negara.

Jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menafikan dakwaan tersebut namun ia tidak dapat menangkis persepsi sedemikian yang wujud dalam kalangan orang ramai.

“Sekarang ini, keputusan-keputusan yang dibuat kalau sokong Perdana Menteri, lulus…kalau tidak sokong akan ada tindakan…ini yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir menyertai sesi sidang meja bulat Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang dihadiri beberapa pemimpin parti politik; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan barisan peguam.

Antara yang hadir termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takyuddin Hassan dan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media berkenaan perlantikan Perdana Menteri ke atas anggota-anggota kanan kehakiman dan Ketua Polis Negara ketika di Wisma Sri Tamadun, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2025.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, berbeza ketika era pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, beliau menyerahkan sepenuhnya urusan pemilihan hakim-hakim kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Sepatutnya hakim sudah ada suruhanjayanya, jadi suruhanjaya ini yang memilih siapa yang mereka mahukan untuk menjadi hakim dan keputusan itu disampaikan terus kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa campur tangan Perdana Menteri.

“Waktu saya jadi Perdana Menteri dulu, itu yang saya lakukan apabila nama diberi kepada saya untuk dikemukakan kepada Agong, saya tak campur tangan, tukar nama dan sebagainya… siapa sahaja yang dipilih oleh suruhanjaya itu, itulah yang akan saya sampaikan kepada Agong,” katanya.

Dalam pada itu, Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang bersidang hari ini turut mengemukakan enam resolusi berkaitan pelantikan Hakim baharu bagi menggantikan Hakim yang bersara wajib.

Antara resolusi itu adalah nama individu-individu yang disyorkan untuk menggalas tugas Hakim-Hakim Kanan di Istana Kehakiman hendaklah berdasarkan kelayakan, integrity dan senioriti bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.

Resolusi lain adalah tidak harus wujud atau persepsi wujudnya situasi konflik kepentingan Perdana Menteri dalam pelantikan posisi-posisi tertinggi badan Kehakiman negara lebih-lebih lagi apabila wujud kes-kes di mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri dalam kapasiti peribadinya.

Dalam situasi sedemikian, menurut resolusi itu, Perdana Menteri mesti mengumumkan dirinya mempunyai konflik kepentingan dan mengecualikan diri di dalam proses pemilihan hakim-hakim.

Selain itu, resolusi lain adalah pihak pembangkang mesti memainkan peranan di Dewan Rakyat untuk mendesak Kerajaan membuat pindan pada Perlembagaan Persekutuan dan/atau Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 agar Perdana Menteri tidak lagi terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.

Dalam masa sama, sekretariat itu menggesa supaya usaha perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia dari pelbagai kedudukan, latar belakang dan kapasiti untuk terus-menerus memantau proses pelantikan mana-mana jawatan tinggi dalam negara agar tidak diganggu-gugat oleh Eksekutif yang berkuasa.

Turut dimasukkan sebagai resolusi adalah supaya Anwar mengambil cuti rehat daripada jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga kesnya di mahkamah selesai kerana persepsi, dan/atau kemungkinan kacau ganggu dalam pentadbiran kehakiman akan wujud selagi beliau memegang jawatan tersebut kerana kes peribadi yang sedang dihadapinya.

Badan Kehakiman negara akan menyaksikan kekosongan yang ketara apabila sembilan daripada 14 hakim tertinggi dijadual bersara tahun ini apabila mereka mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.

Mendahului senarai ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli sudah mencapai usia persaraan mandatori awal tahun ini.

Selain keempat-keempat hakim tertinggi itu, mereka yang lain ialah Tan Sri Nallini Pathmanathan; Datuk Zabariah Mohd Yusof; Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Hanipah Farikullah.

Jika sembilan hakim tertinggi itu mencapai umur bersara mandatori tahun ini, hanya tinggal lima hakim Mahkamah Persekutuan yang akan bersidang mendengar kes-kes di peringkat rayuan sementara menunggu kekosongan diisi.

Perkembangan itu membawa kesan besar dalam perjalanan sistem kehakiman negara kerana ia melibatkan keanggotaan panel Mahkamah Persekutuan yang bersidang di peringkat rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast