SELAYANG – Semua dasar dan reformasi baharu yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dibentangkan secara menyeluruh dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan diketahui oleh semua anggota Kabinet.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi respons berkenaan susulan dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli (YBM) bahawa tiada perubahan besar dilakukan oleh kementerian tersebut.
“Semua dasar, perkara-perkara baharu dan reformasi yang kita nak bawa, semua dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan semua Jemaah Menteri tahu setiap menteri bentang apa, kecuali kalau tak datanglah mesyuarat.
“Saya tidak fikir bahawa dengan keseluruhan pembentangan itu, tidak ada satu pun yang kita terlepas daripada membentangkan soal dasar utama dan reformasi yang kita nak angkat di peringkat Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), MUET dan Sijil Kemahiran Bahasa Melayu untuk Warganegara (SKBMW) di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini, hari ini.
Menurutnya, semua dasar yang dibawa oleh kementeriannya bukan sahaja melalui proses perbincangan di peringkat Jemaah Menteri, tetapi turut mendapat perhatian dan pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tak timbul soal kita tidak melakukan apa-apa kerana semuanya telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri,” ujarnya.
Rafizi di dalam Podcast Yang Berhenti Menteri (YBM), baru-baru ini telah membandingkan dasar pendidikan semasa dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menjadi blueprint utama sistem pendidikan negara sebelum ini.
Pelan itu menggariskan tiga gelombang transformasi dalam tempoh 12 tahun dan terus dilaksanakan walaupun berlaku beberapa pertukaran kerajaan serta menteri.
PPPM akan tamat hujung tahun ini, dan KPM sedang menyiapkan hala tuju baharu melalui Blueprint Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036.
Ini termasuk perancangan memperkenalkan Kurikulum Baharu 2027 yang akan menyaksikan beberapa perubahan struktur subjek pembelajaran. – MalaysiaGazette
















