Wan Rosdy menunjukkan tiket ECRL ketika meninjau kemajuan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen KotaSAS di sini hari ini.

KUANTAN – Status kemajuan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di laluan Pahang kini merekodkan kemajuan melepasi 86.03 peratus setakat Mei lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat berharap agar projek berkenaan dapat disiapkan seperti dijadualkan pada penghujung tahun 2026.

”Saya bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah berkesempatan meninjau kemajuan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen KotaSAS.

”Projek mega ini yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, mantan Perdana Menteri merupakan pemangkin kepada transformasi sistem pengangkutan awam negara menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang melalui satu jaringan rel moden dan efisien.

”Sehingga Mei 2025, kemajuan keseluruhan pembinaan ECRL sepanjang 665 kilometer telah mencapai 83.38 peratus, manakala bagi negeri Pahang sahaja, status kemajuan telah melepasi 86.03 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selaras dengan pembangunan prasarana itu, Kerajaan Negeri Pahang turut merangka pelan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar setiap stesen ECRL dalam lingkungan radius 15 kilometer.

Usaha tersebut bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi setempat secara mapan, serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat.

Lebih penting lagi, laluan ECRL yang menghubungkan dua pelabuhan strategik negara iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan yang diyakini akan melonjakkan kedudukan Pahang, khususnya Kuantan, sebagai destinasi pelaburan utama negara.

Wan Rosdy Wan Ismail bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah berkesempatan meninjau kemajuan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen KotaSAS hari ini

Kesan limpahan ekonomi yang dijana daripada pembangunan ini akan terus dinikmati oleh rakyat di seluruh negeri menerusi projek yang melibatkan tujuh buah stesen sepanjang 258 kilometer bermula dari Cherating hingga ke Bentong.

”Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Malaysia Rail Link (MRL) atas kerjasama dan komitmen dalam merealisasikan projek ini.

”Saya amat berharap agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan, iaitu menjelang penghujung tahun 2026 demi manfaat bersama seluruh rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast