JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan MSC Cyberport Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasa pembangunan bakat digital serta menyokong aspirasi transformasi digital di Johor.
MoU kerjasama tersebut berlangsung di UTM di sini hari ini yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MSC Cyberport, Ramlee Jaafar.
Memorandum berkenaan adalah melibatkan kerjasama dalam bidang inovasi, latihan industri dan pemindahan teknologi.
UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, UTM dan MSC Cyberport akan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan projek AI Johor.
“Ini sebagai inisiatif negeri memacu pembangunan kecerdasan buatan yang beretika dan lestari serta penyertaan dalam pembangunan Johor Startup Enabler Zone (JS-EZ).
“Ini sebagai ekosistem pemula niaga digital dan penempatan pelajar latihan industri, pensijilan profesional dan program pemindahan teknologi digital di bawah platform kolaboratif bersama industri,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Prof Dr Mohd Shafry berkata, kolaborasi itu adalah bukti komitmen UTM untuk menjadikan universiti sebagai pemangkin kepada ekosistem inovasi Johor dan negara secara amnya.
“Kerjasama ini sejajar semangat Malaysia Madani khususnya dalam mengangkat prinsip ilmu, inovasi dan kemampanan sebagai tunjang pembangunan negara berasaskan nilai dan kesejahteraan manusia.
“Kami yakin usaha bersama ini akan memberi manfaat langsung kepada pelajar, penyelidik dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Katanya, MoU itu juga selari dengan Pelan Strategik UTM khususnya untuk memastikan kebolehpasaran graduan dengan gaji premium dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Tambahnya, MSC Cyberport menyambut baik MoU itu dan melihatnya sebagai peluang penting untuk menyatukan kekuatan akademik dan industri dalam membina tenaga kerja masa depan berteraskan teknologi serta pemikiran keusahawanan digital.- MalaysiaGazette
















