KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad menjelaskan gambar pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digunakan dalam hantaran di laman sosial Facebook semalam hanyalah sekadar gambar hiasan.
Menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu berkata, beliau sudah menjelaskan gambar itu `tiada kaitan dengan berita di atas’ iaitu merujuk kepada isu Malaysia My Second Home yang ditulis beliau menerusi hantaran yang sama.
Tambahnya, tiada secara eksplisit (tersurat) mahupun implisit (tersirat) beliau menghina atau merendah-rendahkan pemasyhuran Johny Lim dalam ATM tersebut.
“Apa yang saya maksudkan ialah perlantikan bukan muslim bumiputera adalah perkara biasa tetapi jangan jadikan PM bukan Melayu perkara biasa macam perlantikan bukan Melayu dalam ATM. Itu maksud asal saya.
“Tak ada dalam tulisan tu saya kata ‘seperti bukan Melayu dalam ATM”, “Datuk Johnny Lim Eng Seng adalah contoh nutralisasi’.
“Tak ada secara eksplisit mahupun implisit. Yang kata saya kecam itu ialah Steven Sim Chee Keong dan seangkatannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Terdahulu, Zaharudin mencetuskan kemarahan khususnya dalam kalangan pemimpin DAP selepas memuat naik gambar Johnny yang dipakaikan pangkat Leftenan Jeneral ATM berserta catatan yang mengaitkan tidak mustahil pada masa akan datang Malaysia akan menerima Perdana Menteri berbangsa Cina yang pertama.
Susulan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pandangan Zaharudin tersebut adalah bersifat peribadi bukan mewakili pendirian Pas.
Dalam masa sama, Takiyuddin memberi amaran parti itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif sehingga mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat.
Menjelaskan semula berkenaan hantaran awalnya, Zaharudin berkata, isu sebenar yang mahu dibangkitkan adalah berkenaan kesedaran mengenai bahaya program Malaysia My Second Home yang mana mana hari ini, pembeli akan beli dan mendiami rumah tersebut.
Apabila berlaku kelahiran, katanya, maka tidak mustahil mereka yang menyertai program itu akan meminta kerakyatan dan selepas 20 tahu, akan meminta pula hak mengundi.
Menjawab kepada pertanyaan mengapa hantaran tersebut dipadam, ia bukan disebabkan kerana beliau takut kepada tindakan undang-undang sebaliknya kerana tidak sempat memantau hantaran terbabit sejak ia dimuat naik semalam.
“Ini saya up balik imej posting asal saya untuk renungan kerana saya delete bukan kerana takut tetapi saya nak delete sekaligus cyber trooper yang hanya bekerja untuk merosakkan kebenaran, bukan mencari kebenaran,” katanya.
Dalam masa sama beliau juga akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap sebuah portal yang didakwa memutar belit hantarannya itu.
“…dan saya juga akan bincang dengan lawyer jika ada ruang untuk saya ambil tindakan undang-undang terhadap Steven Sim Chee Keong,” katanya. – MalaysiaGazette
















