Christopher (tengah) menunjukkan 64 kad ATM yang dirampas.

MELAKA – Hasrat 62 pekerja swasta di negeri ini untuk keluar dari kesempitan hidup bertukar mimpi ngeri apabila mereka semakin terjerat sindiket pinjaman wang tidak berlesen yang mengawal sepenuhnya gaji bulanan mereka sejak Mac tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua pekerja berusia antara 30 hingga 50 tahun itu dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit yang beroperasi dari sebuah premis di Taman Merdeka Permai, Batu Berendam di sini.

Menurut beliau, penderitaan mereka bagaimanapun berakhir apabila polis berjaya memberkas dua suspek lelaki berusia 56 dan 26 tahun dalam satu serbuan Sabtu lalu hasil risikan pihak polis.

“Kedua-dua suspek mengaku bekerja untuk seorang ejen dan menerima bayaran sebanyak RM2,500 sebulan bagi mengendalikan urusan pinjaman tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 26 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Batu Berendam di sini hari ini.

Tambahnya, semakan juga mendapati premis yang dijadikan pusat operasi sindiket itu tidak mempunyai lesen sah dan hanya beroperasi di bawah lesen milik sebuah kedai emas di Taman Peringgit Jaya untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil serbuan, polis merampas 64 kad mesin pengeluaran automatik (ATM), wang tunai berjumlah RM6,200, 13 unit telefon bimbit, beberapa perjanjian sewa serta senarai nama peminjam.

“Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menyimpan kad ATM milik mangsa untuk tujuan pemotongan bayaran balik pinjaman dan faedah, sebelum menyerahkan baki gaji bulanan kepada peminjam,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 424A Kanun Keseksaan kerana menyimpan hasil secara tidak sah.

“Polis kini sedang mengesan suspek utama yang dipercayai menggaji kedua-dua individu terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast