KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia akibat lemas ketika mencari tengkuyung di kawasan Sungai Kampung Skibang, Bau, Kuching, Sarawak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Dr Daram Ruer berkata, mangsa dikenali sebagai Ricksen Ng, 32, yang beralamat di Kampung Skibang.
Pihaknya memaklumkan bahawa mangsa telah ditemukan lemas di sungai berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah sekitar jam 10.00 pagi untuk mencari tengkuyung di kawasan sungai tersebut namun tidak pulang ke rumah sehingga jam 7.00 malam.
“Abang ipar pengadu bersama beberapa penduduk kampung kemudian melancarkan usaha pencarian sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dialihkan ke tebing sungai dan kakaknya hadir ke Balai Polis Bau untuk membuat laporan pertama serta menghubungi pihak ambulans dari Hospital Bau.
“Petugas kesihatan yang tiba di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Beliau memaklumkan bahawa mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan sejak berusia tiga tahun.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian tersebut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette
















