BAITULMAQDIS — Sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang mengenai sebuah kafe tepi laut yang terkenal dan sering dikunjungi oleh aktivis, wartawan dan penduduk tempatan di barat Gaza pada Isnin, menurut pasukan perubatan dan saksi.
Pasukan penyelamat telah mengeluarkan 20 mayat dan puluhan yang cedera dari Al-Baqa Cafeteria, sebuah lokasi terbuka yang terdiri daripada khemah-khemah di sepanjang pantai, kata jurucakap Pertahanan Awam Gaza yang dikendalikan Hamas kepada BBC.
Beliau menambah bahawa pasukan kecemasan masih meneruskan pencarian dalam kawah besar yang terjadi akibat letupan itu.
Menurut seorang saksi, dia hanya beberapa meter dari kafe itu sebelum melihat satu letupan besar berlaku.
“Saya dalam perjalanan ke kafe itu untuk menggunakan Internet, apabila melihat letupan tersebut, saya segera berlari ke tempat kejadian.
“Keadaan amat mengerikan. Ada rakan-rakan dan orang yang saya sering temui ada di situ,” kata Aziz Al-Afifi yang bekerja sebagai jurukamera.
Al-Baqa Cafeteria telah menjadi lokasi terkenal untuk wartawan, aktivis dan pekerja jarak jauh, menawarkan akses internet, tempat duduk dan ruang kerja di sepanjang pantai Mediterranean Gaza.
Tiada sebarang kenyataan segera daripada tentera Israel.
Serangan ini berlaku selepas Israel melancarkan gelombang serangan udara di seluruh Semenanjung Gaza sepanjang malam, menyebabkan ratusan keluarga Palestin terpaksa melarikan diri, menurut saksi.
Pasukan penyelamat menemui lima mayat, manakala puluhan orang awam yang cedera telah dibawa ke Hospital Al-Ahli di Bandar Gaza, menurut laporan tempatan.
Pengeboman ini menyusuli salah satu arahan pemindahan terbesar sejak perang disambung semula pada bulan Mac. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















