Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – DAP berpendirian tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang dijadualkan bersara masing-masing pada hari ini dan esok wajar disambung selama enam bulan lagi.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) DAP dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan mereka telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan penuh integriti.

Katanya, walaupun lanjutan seperti itu bukan satu hak yang automatik, DAP mengambil maklum terdapat lanjutan diberikan kepada hakim-hakim kanan terdahulu selepas persaraan wajib mereka.

Sehubungan itu DAP tidak melihat sebarang sebab mengapa perkara yang sama tidak boleh diterapkan kepada Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan pada masa ini.

“Harus ditekankan bahawa sokongan DAP terhadap lanjutan perkhidmatan hakim-hakim tersebut bukanlah bertujuan untuk mempolitikkan isu ini sebaliknya merupakan satu pengiktirafan tulen terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan dan pembaharuan institusi Kehakiman, yang merupakan salah satu keutamaan Kerajaan Madani,” katanya.

Hari ini adalah hari terakhir Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara manakala Abang Iskandar turut bersara wajib pada Khamis ini.

Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, berdasarkan sumbangan dan prestasi hakim-hakim berkenaan, DAP berpendapat lanjutan tempoh perkhidmatan mereka akan memperkukuh komitmen kerajaan terhadap penambahbaikan pentadbiran keadilan dan institusi kehakiman.

Situasi itu, ujarnya, susulan penekanan kepada pengiktirafan terhadap merit sebagai kriteria utama dalam pelantikan hakim serta lanjutan tempoh perkhidmatan mereka.

Dalam masa sama DAP turut mengambil maklum akan berlaku banyak kekosongan dalam Mahkamah Persekutuan susulan persaraan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dan bakal berlaku.

Ia sekali gus menjadikan keperluan untuk mengekalkan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sedia ada sebagai langkah penting bagi memastikan proses peralihan pelantikan baharu ke Mahkamah Persekutuan berjalan dengan lancar.

“Keyakinan orang ramai terhadap institusi Kehakiman adalah amat penting, dan kami sekali lagi menegaskan bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan hakim-hakim tersebut adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tak perlu lanjut laa..proses perlantikan Maimon pun dah penuh kontroversi dan telah menghakis keyakinan rakyat…tak ada apa yg cemerlang pun..ada ramai lagi penjawat awam yg hebat2 tak disambung pun selepas pencen wajib

Comments are closed.