Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KUALA LUMPUR – Pas berdepan serangan politik yang konsisten daripada DAP yang cuba membentuk persepsi kononnya parti itu tidak mesra dengan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setelah tidak lagi bersama dalam kerjasama politik, DAP menggambarkan Pas seolah-olah sebagai parti eksklusif, ekstrem, bahkan menakutkan.

Sedangkan, tambah beliau, sewaktu berada dalam gabungan politik yang sama sebelum ini, Pas digambarkan sebagai moderat dan terbuka oleh DAP.

“Malangnya, sebahagian masyarakat termakan dengan naratif ini. Khususnya masyarakat Cina, yang secara tradisi meletakkan kepercayaan tinggi kepada DAP, menjadikan segala yang datang daripada mereka dianggap benar.

“Hakikatnya, apa yang dituduh tidak pernah berpijak pada kebenaran,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Mohd Amar, Pas kekal dengan dasar asal serta prinsip yang tidak berganjak iaitu tetap berpegang pada perjuangan Islam yang membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Disebabkan itu, katanya, sejak sekian lama, Pas menekankan bahawa Islam adalah rahmat bagi sekalian alam, dan Pas pula mendukung gagasan ‘PAS For All’.

“Ini bukan retorik. Ia lahir daripada kefahaman bahawa Islam tidak datang hanya untuk satu kaum atau satu kelompok, tetapi untuk seluruh manusia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amar turut mengajak rakyat melihat Kelantan iaitu negeri yang diperintah Pas selama lebih tiga dekad yang menjadi saksi kepada keadilan dan keterbukaan yang dipraktikkan parti tersebut.

Katanya, masyarakat Cina di Kelantan hidup dengan aman, berniaga dengan bebas, beragama tanpa gangguan dan menyambut perayaan mereka tanpa halangan.

“Tiada kekerasan. Tiada diskriminasi. Tiada penindasan. Inilah wajah sebenar pentadbiran Islam yang dibawa PAS. Tenang, teratur dan mendidik,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, disebabkan Pas tidak memerintah di peringkat Persekutuan, wajah sebenar parti itu tidak sampai ke seluruh rakyat.

Disebabkan itu, ujarnya, wujud jurang maklumat, ditambah pula dengan fitnah yang disebar tanpa tapisan terhadap parti tersebut.

“Jika diberi peluang, insya-Allah, pentadbiran seperti di Kelantan ini akan diperluas ke seluruh negara, dengan pendekatan yang sama, adil, mendidik, dan terbuka,” katanya.

Tambahnya, Pas juga tidak memilih jalan keras, tidak menghukum dan tidak memaksa dalam pentadbirannya, sebaliknya mendidik dan membimbing, sesuai dengan jiwa masyarakat.

Jelasnya, pendekatan yang diamalkan Pas di Kelantan itu terbukti berjaya kerana ia tidak menekan rakyat, tetapi memberi ruang untuk mereka memahami dan menyesuaikan diri.

“Kita pimpin dengan kasih sayang. Kita dekati masyarakat dengan hikmah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast