KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pejuang lama atau baharu, tetapi pintu itu hanya terbuka kepada mereka yang jujur, terbuka dan bersedia memperbetulkan pendirian demi kekuatan kolektif parti.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, proses rayuan di dalam UMNO juga bukan soal tunduk, sebaliknya ia adalah tanda tanggungjawab kepada wadah yang pernah membesarkan nama dan perjuangan mereka yang pernah berada di dalam kepimpinan parti.
Jelas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkenaan, UMNO adalah parti yang dibina atas dasar kesetiaan, disiplin dan prinsip perjuangan, bukan sekadar nama atau legasi.
Sejarah UMNO, tambah beliau, sarat dengan pengorbanan para pejuang yang meletakkan parti di hadapan kepentingan peribadi.
“Maka setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO, khususnya berkaitan disiplin, bukan bersifat peribadi, tetapi demi menjamin kestabilan dan kelangsungan parti.
“Namun demikian, ada dikalangan pemimpin UMNO telah memilih untuk menyatakan pendiriannya terhadap perjuangan parti adalah satu isyarat jelas bahawa beliau telah memilih jalan yang berbeza,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan tegas memberitahu beliau tidak akan membuat rayuan penggantungan keahliannya kepada UMNO kerana tahu beliau tidak diadili dengan sebaiknya.
Bahkan, Hishammuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong enggan menggadaikan prinsip yang dipegangnya selama ini, meskipun ada yang mengatakan beliau terhegeh-hegeh dan bodoh sombong.
Sementara itu, Nurulhidayah berkata, kepimpinan yang masih setia mengakui bahawa UMNO kini berada dalam fasa pemulihan setelah ujian demi ujian yang telah dan sedang dijalani.
Ujarnya, perjuangan itu memerlukan kesatuan, bukan kebisuan; memerlukan keberanian untuk kembali, bukan kenyataan separuh hati dari luar gelanggang.
“Kita mesti matang dalam berpolitik. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai kita berbeza arah perjuangan.
“Perjuangan kita tetap satu, iaitu memelihara maruah bangsa, memperkasa Islam dan Melayu di bumi Malaysia tercinta ini,” katanya.
Tambah beliau, UMNO akan terus bergerak ke hadapan dan parti itu bangkit bukan hanya faktor tokoh, tetapi kerana semangat juang ahlinya yang tidak pernah mati.
“Yang setia, kita perkuatkan. Yang ragu, kita doakan mereka kembali tersedar.
“Yang berpaling, kita doakan semoga menemui jalan yang benar,” katanya. – MalaysiaGazette
















