KENYATAAN akhbar Datuk Dr. Dominic Lau berkenaan isu lantikan kehakiman. - Foto: FB Parti Gerakan Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Keanggotaan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak seharusnya lagi dilantik oleh kerajaan, sebaliknya kuasa itu perlu dipindahkan kepada Parlimen yang lebih bebas dan berwibawa.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, ia bagi memastikan JAC dapat beroperasi secara bebas dan membuat keputusan mengenai pelantikan serta pelanjutan tempoh hakim tanpa sebarang tekanan daripada pihak eksekutif.

Tegas beliau, selagi tiada pemisahan yang jelas antara pentadbiran dan badan kehakiman, rakyat tidak boleh disalahkan sekiranya terus mempersoalkan berkenaan kebebasan kehakiman.

Apatah lagi, ujarnya, dalam situasi ketika ini yang mana tiada pelan peralihan jawatan Ketua Hakim Negara yang jelas dan tepat pada masanya, sekali gus mendedahkan kelemahan sistemik sedia ada.

“Sehubungan itu, kita menyeru seluruh rakyat dan komuniti kehakiman bersatu memberi tekanan kepada kerajaan supaya segera memulakan proses reformasi kehakiman dan mengoptimumkan pengagihan bidang kuasa badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kelewatan kerajaan menamakan pengganti tetap bagi dua jawatan kanan kehakiman iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang kosong sejak beberapa hari lalu.

Sebaliknya, kerajaan mengumumkan jawatan itu dipangku Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang disifatkan beberapa pemerhati sebagai langkah janggal dan tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

Sementara itu, Dominic berkata, sekiranya kerajaan khuatir reformasi badan kehakiman tidak akan meraih sokongan rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar membubarkan Parlimen dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.

Jelasnya, adalah tidak wajar untuk Kerajaan Perpaduan terus memegang kuasa di Putrajaya sambil mencari pelbagai alasan untuk menangguhkan reformasi kehakiman yang amat diperlukan.

“Politik adalah medan yang penuh dengan ketidaktentuan, dan para pemimpin parti wajar bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan.

“Sekiranya kerajaan pimpinan Anwar terlalu ghairah mempertahankan kuasa sehingga enggan melaksanakan reformasi terhadap isu-isu teras negara, maka beliau seharusnya berundur secara terhormat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast