Mohd Zaidi (kanan) meninjau kebakaran di tingkat atas blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, Jasin yang sedang dalam proses kerja-kerja pendawaian elektrik awal pagi tadi.

JASIN – Kejadian litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran tingkat atas blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini awal pagi tadi yang sedang dalam proses menaik taraf sistem pendawaian elektrik.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Zaidi Maat berkata, setakat ini, siasatan awal tidak menemui sebarang perbuatan khianat dalam kejadian kira-kira pukul 5.36 pagi.

“Siasatan masih terus dijalankan dan kita akan memanggil unit anjing pengesan (K9) bomba untuk tengok juga sekiranya ada unsur khianat.

“Namun secara asasnya kita tidak nampak ada perkara itu (khianat),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad Mariman

Terdahulu, bomba menerima panggilan kebakaran menerusi talian MERS 999 pada jam 5.36 pagi melibatkan bilik moral, bilik grafik komunikasi dan teknikal, bilik guru dan bilik reka bentuk teknologi.

Mengulas lanjut Mohd Zaidi berkata, faktor tekanan air rendah menjadi cabaran utama kelewatan operasi pemadaman api apabila ia tidak mencapai paras minimum bagi menyokong operasi jentera bomba.

“Keadaan ini memaksa pasukan bomba menggunakan sumber air pili bomba dari taman bersebelahan dan menarik hos bomba sepanjang 1,300 kaki (400 meter) untuk melakukan kerja-kerja memadam api.

“Mengikut piawaian jabatan, tekanan air diperlukan sekurang-kurangnya 1.7 bar untuk memastikan air boleh disedut dan disalurkan ke jentera bomba tapi tadi mungkin tak sampai satu bar,” katanya.

Rahmad (tengah) melihat kesan kebakaran.

Sementara itu Rahmad berkata, kebakaran berlaku ketika kerja-kerja menaik taraf sistem pendawaian elektrik sejak 16 minggu lalu dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu lagi.

“Saya mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan dan sekiranya bencana ini berlaku disebabkan kecuaian kontraktor, kita tidak akan berkompromi.

“Mujurlah, kebakaran tidak melibatkan bangunan kelas pelajar dan ia tidak menjejaskan operasi sekolah yang mempunyai kira-kira 900 pelajar ini,” katanya. – MalaysiaGazette

SMK Dang Anum, Merlimau terbakar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast