Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli bersetuju dan menyokong inisiatif Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) di Blok Ambalat yang dimeterai antara Malaysia dan Indonesia.

Malah, kata bekas Menteri Ekonomi berkenaan, ia juga merupakan antara perkara yang dibawa beliau semasa berada dalam Kabinet sebelum ini.

Menurut beliau, kaedah JDA itu juga merupakan langkah yang telah terbukti berkesan yang mana Malaysia pernah mengambil pendekatan serupa di luar pesisir Kelantan dan Thailand.

“Keadaannya sama, iaitu kawasan yang ada tuntutan bertindih antara Malaysia dan Thailand. Tidak dapat dibangunkan selagi tidak ada penyelesaian dan kedua-dua negara tidak berganjak.

“Dalam tahun 1970an, kerajaan kedua-dua negara bersetuju mewujudkan Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand atau Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA) yang bertindak sebagai pihak berkuasa yang mengendalikan pembangunan bersama di kawasan bertindih itu.

“Wakil sama banyak, suara sama banyak.

“Dari situlah, kontrak eksplorasi dan pembangunan minyak dapat dijalankan, akhirnya dianugerahkan kepada PETRONAS dan PTTEP (syarikat minyak Thailand).

“Hari ini, sekitar 30% dari keperluan gas Semenanjung Malaysia dibekalkan dari kawasan bertindih ini.

“Jika ia tidak dibangunkan secara bersama dan tergendala sehingga kini, 30% keperluan gas Semenanjung perlu diimport dan dibayar pada harga yang tinggi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, minggu lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, JDA itu dipertikai khususnya oleh pembangkang yang menyifatkan ia dimeterai secara tergesa-gesa tanpa butiran lanjut, selain membangkitkan berkenaan isu kedaulatan negara memandangkan wilayah maritim berkenaan masih dalam pertikaian dengan Indonesia.

Sementara itu, Rafizi berkata, apa yang perlu dilakukan kerajaan sekarang susulan JDA tersebut adalah berbincang secara serentak dengan Kerajaan Indonesia dan Kerajaan Negeri Sabah supaya kepentingan Sabah dapat dipelihara dan sebahagian keuntungan dinikmati rakyat Sabah secara adil.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan sekiranya isu itu terus dipolitikkan dan rancangan pembangunan bersama tersebut tergendala, negara dan rakyat, dari Sabah sampai ke Perlis, akan terus kehilangan berbilion ringgit hasil setiap tahun, dalam keadaan hasil minyak negara yang semakin berkurang.

“PETRONAS memerlukan pembangunan bersama ini. Insya-Allah, rakyat juga akan mendapat manfaat.

“Kita boleh membangkang sesuatu, tetapi biarlah selepas kita meneliti keseluruhan merit kes itu. Jangan pakai hentam saja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast