Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu 2025 di Mines Wellness City, Seri Kembangan. Foto MOHD ADZLAN, 05 JULAI 2025.

SERDANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh lagi bergantung kepada gelombang kemarahan rakyat yang menghukum kerajaan memerintah untuk memperoleh sokongan bagi memenangi pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sebaliknya Bersatu akan memastikan rakyat menerima parti itu kerana kemampuan untuk melaksanakan reformasi yang gagal ditunaikan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya fikir rakyat marah itu sudah pasti, tetapi kita tak nak bergantung hanya atas kemarahan rakyat.

“Kita nak juga menawarkan sesuatu yang lebih konkrit iaitu Konsensus Nasional baharu, itu adalah suatu kerangka besar dari segi kesepaduan rakyat.

“Kita sudah ada cadangan reformasi pendidikan, sebab itu kita ikut betul-betul apa yang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang lakukan.

“Kita bukan hanya pergi meraih undi dan sokongan kerana rakyat marah kepada kerajaan yang ada, kami faham, kami pun marah kepada kerajaan sedia ada, tetapi kami juga ada perkara-perkara yang ingin kami tawarkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu 2025 di Mines Wellness City, Seri Kembangan. Foto MOHD ADZLAN, 05 JULAI 2025.

Terdahulu Saifuddin menyempurnakan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan 14 Bahagian Bersatu 2025 di Selangor.

Menurut Saifuddin, Bersatu tidak boleh mengambil manfaat kemarahan rakyat semata-mata tanpa menawarkan pendekatan yang konkrit seperti mana dilakukan Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 70-an selepas peristiwa 13 Mei.

“Berlaku reset yang melahirkan antaranya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan rukun negara, selepas itu, Malaysia menikmati zaman aman, harmoni dan kejayaan ekonomi yang cukup baik sehingga kita dikenali sebagai salah sebuah Asian Tigers.

“Sekarang kita berhadapan dengan masalah begitu besar juga, walaupun tidaklah berlaku perselisihan kaum macam 13 Mei, tetapi kesusahan rakyat, ekonomi dan politik kita begitu teruk.

“Kita memerlukan konsensus nasional yang baharu dengan tiga batu asas yang dicadangkan termasuk kemakmuran bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast