SERDANG – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan wujudnya dua kem dalam kalangan kepimpinan parti itu di Selangor.
Ahlinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, persepsi itu timbul selepas majlis perasmian berkelompok persidangan tahunan Bersatu 2025 hanya melibatkan 14 bahagian di Selangor.
“Sebenarnya kita jemput semua (bahagian), tapi disebabkan ada isu teknikal, nak dapatkan tempat ni agak lewat, notis mesyuarat kita kena keluarkan tujuh hari sebelum majlis,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian 2025 di sini, hari ini.
Menurut Wan Saiful, terdapat dua bahagian yang tidak dapat mengubah jadual asal manakala beberapa bahagian lain sedang mengadakan persidangan masing-masing pada tarikh sama.
“Hanya bahagian-bahagian yang tidak mengeluarkan notis lagi dan ada kebolehan untuk datang, ada kelapangan untuk datang sini.
“Sebab itu mereka tak dapat hadir. Kalau tidak, persidangan ini boleh dihadiri wakil seluruh Selangor.
“Malah Pengerusi (Bersatu) Negeri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) juga telah dimaklumkan mengenai jemputan yang dihantar, namun beliau mengeluarkan notis dan menetapkan tarikh persidangan pada hari sama,” jelasnya.
Terdahulu, mesyuarat perasmian berkelompok itu hanya dihadiri 14 Bersatu Bahagian di Selangor termasuk Bangi, Sepang, Sabak Bernam, Ampang, Pandan, Selayang, Kota Raja, Hulu Langat, Puchong, Damansara, Klang, Subang, Sungai Buloh dan Hulu Selangor.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ketidakhadiran beberapa bahagian dalam persidangan berkelompok itu tidak menimbulkan sebarang isu.
“Sebagai contoh, Pahang, esok ada tiga bahagian Bersatu iaitu di Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar yang akan mengadakan persidangan berkelompok bersama (Timbalan Presiden Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Kenapa tak ajak yang lain? Sebab Pahang besar dan ada bahagian yang sudah pun keluarkan notis lebih awal untuk bermesyuarat secara berasingan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















