Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di kawasan elit Solaris Dutamas di sini ditutup selepas perjanjian sewaan selama dua tahun tamat pada April 2025.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, penamatan sewaan itu dibuat atas persetujuan bersama antara pemilik dan PN tanpa sebarang isu tunggakan bayaran.

“Perkara ini telah dimaklumkan dan mendapat persetujuan pimpinan tertinggi PN.

“Bagaimanapun pentadbiran dan urusan ibu pejabat PN masih beroperasi seperti biasa di bawah kendalian pegawai-pegawai dan kakitangan ibu pejabat di lokasi tidak rasmi sementara premis baharu sedang disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin turut menafikan dakwaan sesetengah media penutupan ibu pejabat itu berpunca daripada kegagalan membayar sewa sejak Mac lalu.

Beliau menyifatkan laporan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, sebuah media melaporkan pejabat utama PN ditutup selepas didakwa gagal menjelaskan bayaran sewa selama beberapa bulan.

Pejabat berkenaan sebelum ini menjadi lokasi utama mesyuarat Majlis Tertinggi PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada 2020.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika ditanya mengenai perkara tersebut tidak mengetahui status sebenar penutupan ibu pejabat berkenaan kerana urusan pengurusan dan pentadbiran pejabat adalah di bawah tanggungjawab Setiausaha Agung PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast