KUALA LUMPUR – Persatuan Amal Kebajikan Muafakat Wawasan menganjurkan satu program istimewa bertemakan ‘Jasamu Dikenang’ yang menghimpunkan sebahagian para pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari Bahagian Perumahan Zon 1 Cheras, melibatkan kumpulan pesara dari tahun 2009 hingga kini.
Program tersebut diadakan bagi memperkukuhkan semula hubungan antara bekas rakan sekerja yang pernah berkhidmat dalam sektor perumahan DBKL.
Menurut wakil penganjur, Ridzuan Manap, usaha menjejaki dan mengumpulkan kembali para pesara bukan sesuatu yang mudah namun ia membuahkan hasil apabila ramai yang hadir dengan penuh semangat dan nostalgia.
“Ini adalah satu penghargaan buat mereka yang pernah menabur bakti. Melalui program ini, kami bukan sahaja menyambung kembali silaturahim, malah mencipta ruang untuk berkongsi pengalaman dan kenangan sewaktu berkhidmat dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menariknya, kehadiran Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok turut menyerikan lagi majlis dan memberi suntikan semangat kepada mereka.
Teresa dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dengan usaha murni menghargai jasa dan pengorbanan bekas penjawat awam sambil menzahirkan sokongan agar program seperti ini diteruskan pada masa hadapan.
Pihak penganjur turut menyatakan hasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara berkala dengan perancangan awal untuk menganjurkannya semula dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Program ‘Jasamu Dikenang’ mencerminkan nilai penghargaan yang tinggi terhadap jasa para pesara selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat. – MalaysiaGazette
















