KUALA LUMPUR – UMNO Bukit Bintang tidak berdiam diri atau bergoyang kaki selepas kerjasama Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadikan Parlimen Bukit Bintang yang kini disandang DAP berubah sebagai kawasan putih.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin sebaliknya berkata, dengan majoriti undi kini lebih 40,000 pengundi, sudah pasti jentera dan strategi bahagian itu menjadi lebih mantap.
Namun jelas beliau, ia juga tidak bermakna UMNO Bukit Bintang tidak mampu menyumbang apa-apa untuk memenangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-16.
“Tanpa sumbangan kerusi bukan bermakna kami akan berdiam diri atau bergoyang kaki. Berjuang dalam keadaan apa jua kerana khidmat bakti parti tidak pernah terhenti.
“Ini kerana kita sedar bahawa setiap ahli UMNO tanpa mengira jawatan dan kedudukan mesti menjadi petugas dan menyumbang kepada pengukuhan parti.
“UMNO Bukit Bintang telah melaksana penstrukturan gerak kerja politik di mana kita telah selesai modul asasnya yang dinamakan Jabatan Pengundi Luar.
“Jabatan ini telah diangkat dan telah dimartabatkan sebagai Produk UMNO Wilayah Persekutuan bagi membantu parti secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang yang dirasmikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Azman berkata, bahagian itu turut mengumumkan lagi satu inisiatif untuk menubuhkan Sekretariat Perundangan yang akan diterajui oleh Datuk Lukman Sherrif Alias dari cawangan UMNO Kampung Delima dan Tunku Alizan Raja Alias dari cawangan UMNO Raja Chulan.
“Mereka akan bertanggung jawab mengetengahkan isu-isu umum terutamanya berkaitan perundangan yang melibatkan Islam. Inilah antara bukti kesungguhan kita di UMNO Bukit Bintang dalam perjuangan demi agama dan masa hadapan.
“Pada masa sama, UMNO Bukit Bintang masih dan akan terus memperjuangkan kebajikan peniaga Melayu agar tidak hilang dan tidak hanyut ditelan dinamika industri perusahaan.
“Ibarat bumi dipijak milik orang maka sesuatu harus dilakukan dan di sinilah langkah diambil demi jati diri, maruah dan keberadaan bangsa Melayu di ibu kota terbela,” katanya. – MalaysiaGazette
















