Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pendedahan sekumpulan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pencabulan institusi kehakiman negara adalah dakwaan berat dan serius sekali gus tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari mendesak kerajaan bertindak segera dan telus terhadap kesemua dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen PKR berkenaan.

Menurut beliau, institusi kehakiman adalah salah satu cabang utama pentadbiran negara dan sekiranya ia dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif, maka prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi akan runtuh.

Tegasnya, tanpa kebebasan kehakiman, Malaysia tidak lagi boleh dilihat sebagai negara demokrasi, bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator.

“YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajib segera kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan secara langsung kepada rakyat dan Parlimen.

“Ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita,” katanya menerusi kenyataan Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, sekumpulan Ahli Parlimen PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam sidang akhbar hari ini PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Sidang akhbar yang turut disertai enam Ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan.

Sementara itu, Ahmad Fadhli turut merafak sembah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya meneliti dan mempertimbangkan untuk mengambil langkah sewajarnya demi menjamin kemuliaan dan kebebasan institusi kehakiman terus terpelihara daripada sebarang pencabulan serta campur tangan pihak eksekutif.

“Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast