KUALA LUMPUR – Remaja berusia 14 tahun mula dikenali dan menjadi tular selepas video dia mendendangkan lagu Korban Perceraian dengan memakai pakaian maskot beruang dimuat naik di TikTok dan meraih lebih daripada lima juta tontonan.
Melihat daripada komen yang ditinggalkan oleh netizen, ramai yang mengaku sebak kerana lagu yang disampaikan oleh Putera Bobo atau nama sebenarnya, Putera Shah Nasratullah Mohd Nasran itu sampai ke hati.
Salah seorang yang tersentuh hati tatkala mendengar lagu dendangan Putera Bobo di Uptown Jerteh, Terengganu itu ialah Azian Zaid Khan atau mesra dengan panggilan Kak Long yang juga pengasas produk kosmetik Rosel Whitening.
Jelas Kak Long sewaktu ke Uptown Jerteh bersama suami, Ayah Zack Janggut, dia sudah ‘jatuh hati’ dengan penyanyi cilik tersebut sebab nyanyiannya sampai ke hati.
Dia kemudian diperkenalkan dengan Putera Bobo oleh seorang teman, Matyie Gsr.
“Matyie Gsr kata budak ni berbakat dan boleh pergi jauh kalau kena dengan caranya. Cuma tak ada orang yang nak bantu. Apabila tengok video dia yang tular itu, hati saya terbuka untuk membantunya,” katanya terus terang.
Tujuan dia membantu Putera Bobo bukan mahu menumpang populariti remaja tersebut tapi ikhlas untuk membuka jalan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kampung Darau Jerteh, Terengganu itu agar dapat mencipta nama dalam bidang seni suara.
Akhirnya dengan usaha Kak Long dan Molek FM, Putera Bobo melangkah ke NAR Record, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu untuk menjalani rakaman single pertamanya di bawah label Nova Music.

Sementara itu, ibu Putera Bobo, Elyani melahirkan rasa gembira kerana ada insan berhati mulia yang sudi membantu anak ketiganya daripada lima adik-beradik itu menggapai Impian menjadi penyanyi rakaman.
Elyani dan suami, Mohd. Nasran yang aktif dengan kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda, Kampung Bukit Rambutan Jertih itu gembira kerana bakat Putera Bobo dihargai.
“Kesemua anak-anak saya boleh menyanyi termasuklah dua orang adik Putera yang berusia lapan dan empat tahun itu. Kakaknya yang sulung selalu menyertai pertandingan nyanyian dan selalu menang.
“Abangnya pun aktif juga masa sekolah rendah dulu, cuma rezeki lebih berpihak kepada Putera untuk melangkah ke hadapan.
“Bakat menyanyinya dikesan sejak dari sekolah rendah lagi. Masa tu, dia selalu masuk kumpulan nasyid dan buat persembahan di sekolah. Sejak abahya, aktif dalam dikir barat dengan Kumpulan Arwana Seri Muda, dia sering bawa Putera bersama,” jelas Elyani.
Tambahnya, Putera suka menyanyikan lagu bergenre sedih walaupun dia mampu mendendangkan lagu rancak. Bila dia nyanyi lagu Korban Perceraian dengan penuh penghayatan, ramai yang ingat ibu bapanya berpisah.
“Dia suka lagu yang beremosi macam lagu dendangan Lesti Kejora dari Indonesia. Itu memang menjadi pilihannya setiap kali berkaraoke. Selain menyanyi solo dan bersama kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda, Putera juga vokalis untuk Yuni
Band dari Kampung Beris Baru, Kuala Besut”, cerita Elyani tentang anaknya yang pernah sertai program The Chosen One musim kedua.

Shah Nasratullah Mohd Nasran baru berusia 14 tahun.
Selepas Molek FM atur pertemuan Putera Bobo dengan Eddie Hamid, komposer tersebut setuju untuk membuatkan lagu Korban Rindu yang liriknya dihasilkan oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.
Jelas Eddie, melihatkan nyanyian Putera Bobo yang berjaya menyentuh hati ramai pendengar, dia yakin remaja itu mempunyai aura tersendiri dan boleh pergi jauh dalam bidang seni suara.
“Putera ini ada aura tersendiri kerana dia menyanyi dengan hati dan sebab itulah lagu dendangannya sebelum ini sampai kepada pendengar. Saya harap single sulungnya ini dapat membantu Putera untuk melangkah lebih jauh lagi kerana dia masih muda.
“Kita perlukan bakat-bakat muda sebegini untuk menjadi pelapis bagi mengembangkan lagi lagu-lagu tempatan ke peringkat global. Mudah-mudahan menerusi lagu Korban Rindu ini Putera berjaya menggapai impiannya menjadi seorang penyanyi yang berjaya,” kata Eddie yang tidak mengambil masa lama untuk
mencipta lagu tersebut.
Lagu Korban Rindu terbitan Nova Music itu telah dilancarkan secara rasmi dan video muzik lagu tersebut kini boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’. – MalaysiaGazette
















