Timbalan Pengerusi UMNO Johor yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan maksud sebenar beliau ketika menyentuh mengenai peluang Barisan Nasional (BN) dalam merampas tiga negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya berkenaan, apa yang disebut beliau Terengganu, Kedah dan Perlis adalah “swing states”, bukannya tidak stabil.

Jelas beliau, apa yang dimaksudkan dengan swing states itu adalah sama ada BN dan PN boleh menang atau boleh tewas di tiga-tiga negeri berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Itulah sejarah politik terutama di Terengganu & Kedah. Pemberita salah terjemah maksud saya.

“Sabar MB. Saya tidak mengigau,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Kedah berkata, kedudukan tidak stabil tiga negeri PN iaitu Perlis, Kedah dan Terengganu membuka peluang BN dan PH merampasnya semula pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Ahmad `mengigau’ berhubung kenyataannya itu, dan menegaskan BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu berusaha gigih jika beranggapan mempunyai peluang merampas semula tiga negeri tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast