Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan sidang akhbar Datuk Seri Rafizi Ramli berjaya memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ia merupakan matlamatnya.

Malah, katanya, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan beliau masih mempunyai 10 ahli Parlimen PKR yang berdiri teguh di belakangnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, isu dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman yang dibangkitkan Rafizi meskipun amat penting tetapi disifatkan separuh masak.

Ujarnya, Rafizi sepatutnya mendahulukan isu yang lebih awal iaitu pada 11 Januari 2023 ketika Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice In the Wilderness.

Dakwa beliau, di dalam buku itu, ada ditulis Tommy Thomas dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terbabit dalam pelantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara.

“Rafizi anggota Kabinet masa itu. Dia patut melihat isu JAC bermula sejak PH1.0 berkuasa. Pelantikan Tengku Maimun menjadi kontroversi kerana pendedahan oleh Tommy Thomas,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Disebabkan itu, tambah Mohd Puad, beliau turut  menyifatkan sidang akhbar Rafizi hari ini sebagai tidak lengkap dan seolah-olah show off.

“Tetapi jika kempen kutip tandatangan dan roadshow pelantikan hakim berjaya, ia bawa masalah besar kepada PMX. Rafizi akan kata ‘kamu rugi buang aku’,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan ahli Parlimen PKR diketuai Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengadakan sidang akhbar hari ini bagi mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.

Sidang akhbar yang turut disertai enam Ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast