KUALA LUMPUR – “Biarpun berbeza fahaman politik, tetapi saya rasa kita semua boleh bersependapat bahawa terlalu banyak jasa Tun kepada Malaysia,” itu coretan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sempena ulang tahun kelahiran ke-100 Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, Bapa Permodenan Malaysia itu banyak menabur bakti terutama semasa pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri ke-4 pada 16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003.
Ka Siong yang turut mendoakan Dr Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindungan tuhan, menyeru generasi baharu untuk belajar dan mencontohi negarawan ulung itu yang diakui sebagai pemimpin yang kuat bekerja.
“Terima kasih Tun atas sumbangan kepada masyarakat dan negara. Pada usia 100 tahun, Tun masih gagah dan tetap bersemangat untuk berbakti.
“Generasi baharu harus belajar dan mencontohi Tun M yang diakui sebagai pemimpin yang kuat bekerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ketinggalan mengucapkan selamat hari lahir kepada Dr Mahathir.
Beliau yang merupakan rakan seperjuangan Dr Mahathir semasa di dalam UMNO dan Bersatu, mengakui tokoh ternama itu sebagai negarawan yang banyak berjasa kepada bangsa dan agama.
“Terimalah amalnya sebagai jariah berterusan. Jadikan beliau sumber inspirasi dan lindungilah beliau serta keluarganya. Amin Ya Rabbal ‘alamin,” katanya menerusi sekeping poster yang dimuat naik di media sosial.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh juga mendoakan agar Dr Mahathir diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan.
“Selamat hari lahir yang ke-100 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya menerusi hantaran di Instagram sambil memuat naik sekeping gambar lama pertemuan beliau dengan negarawan itu semasa Dr Akmal masih belajar di Moscow. -MalaysiaGazette
















