Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika melawat Pembukaan Semula Galeria Sri Perdana di Galeria Sri Perdana, Jalan Terengganu, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Galeria Seri Perdana sebagai tempat yang menyimpan pelbagai kenangan peribadi serta momen penting sepanjang beliau menerajui pentadbiran negara.

Selain menjadi kediaman rasmi perdana menteri, bangunan itu juga menjadi lokasi menerima kunjungan para pemimpin luar negara dan menganjurkan pelbagai acara rasmi termasuk jamuan serta majlis keluarga.

“Saya okay saja tinggal di sini. Saya terima ramai pemimpin dari banyak negara. Kami pernah juga adakan jamuan makan malam di sini.

“Saya masih ingat satu jamuan bersama pemimpin Eropah. Di hujung makan malam, saya beritahu mereka akan hidangkan makanan istimewa. Tapi pemimpin itu terus kata ‘tak nak, saya tak makan’.

“Makanan istimewa itu sebenarnya bukan durian tapi buah ciku. Tapi biasalah, orang Eropah memang takut durian,” katanya.

Beliau yang lebih mesra disapa Tun M berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan semula Galeria Sri Perdana di sini hari ini.

Dr mahathir turut berkongsi perkahwinan anaknya juga pernah diadakan secara sederhana di kediaman tersebut tanpa kehadiran terlalu ramai tetamu.

“Majlisnya sangat sederhana. Zaman sekarang, orang nak kahwin mesti sewa dewan besar, jemput 1, 000 orang. Tapi kami dulu jemput yang penting-penting sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, untuk meraikan penyokong politik, satu majlis lebih besar pernah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) namun tetap dengan pendekatan berjimat cermat.

“Saya agak kedekut. Bukan sahaja dengan duit sendiri tapi juga duit kerajaan. Saya percaya kerajaan tak perlu berbelanja besar untuk benda-benda seperti itu,” tambahnya.

Namun kenangan paling diingati berlaku apabila beliau mengalami serangan jantung sewaktu berada di Seri Perdana.

“Saya tak boleh bernafas, sakit dada. Sebagai doktor, saya tahu itu serangan jantung. Isteri saya telefon kawan, rakan sekelas saya di Singapura.

“Dia sahkan saya kena serangan jantung dan saya terus dimasukkan ke hospital,” ujarnya

Selepas menjalani pembedahan dan dalam fasa pemulihan, Dr Mahathir tidak kembali menetap di Seri Perdana sebaliknya berpindah ke kediaman sekarang di The Mines, Seri Kembangan.

“Saya sangat sayang rumah ini. Banyak kenangan di sini. Ramai pemimpin saya temui, banyak isu nasional dibincangkan di sini.

“Malaysia bukan negara besar tapi ramai pemimpin dunia datang bertukar pandangan dan beri pandangan tentang isu antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast