KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam keputusan dan urusan berkaitan mahkamah sejak lebih dua tahun mengambil alih pentadbiran negara.
Dalam soal pelantikan institusi kehakiman, kata Perdana Menteri, perkara itu berlangsung seperti apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan serta melalui bidang kuasa pihak berkepentingan masing-masing.
“Seperti yang saya sebut, saya lebih dua setengah tahun tidak pernah campur urusan dan keputusan mahkamah. Itu yang saya ingat penting.
“Soal proses pelantikan (dalam institusi kehakiman) itu seperti yang ditentukan dalam Perlembagaan dan juga bidang kuasa (pihak) masing-masing,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, Putrajaya, di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya berkenaan hasrat Badan Peguam Malaysia untuk menganjurkan Perhimpunan dan Perarakan Aman bermula dari Istana Kehakiman dan berakhir di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya, Isnin ini, bagi mempertahankan kebebasan kehakiman, Anwar hanya berkata: “Itu keputusan mereka.”
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, persoalan mengenai kebebasan kehakiman yang dibangkitkan itu sudah pun diperjelas oleh Jabatan Peguam Negara (AGC); Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, malah oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi kita ikut lah proses dan peruntukan yang sedia ada, kalau rasa nak pinda (proses lantikan kehakiman) cadang pindaan itu kepada kerajaan…kita ikut proses sedia ada yang diamalkan selama ini,” katanya.
Badan Peguam Malaysia sebelum ini dilaporkan mahu menganjurkan Perhimpunan dan Perarakan Aman dengan objektif utama untuk menyerahkan satu memorandum penting yang mengandungi tuntutan agar langkah segera diambil bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Kali terakhir peguam mengadakan Walk for Judicial Independence ialah pada 2022 bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nazlan Ghazali, yang dianggap sebagai campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman serta melanggar prinsip asas pengasingan kuasa.
Badan Peguam Malaysia dalam pekeliling yang dikeluarkan kepada peguam minggu lalu menggesa mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan kekosongan jawatan hakim.
Ia berlaku ketika ketegangan semakin meningkat pada penghujung tempoh khidmat Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara dan kekosongannya belum diisi sehingga kini. – MalaysiaGazette
















