Kamil Ibrahim

KUANTAN – Pelaksaan perintah dalam Titah Adendum tidak sepatutnya dilengahkan berikutan pengakuan Jabatan Peguam Negara (AGC) tentang kewujudan titah tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, sejak hari pertama lagi, pihaknya secara konsisten memperjuangkan agar titah addendum ini tidak dinafikan serta menuntut keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Perjuangan ini berteraskan prinsip kebenaran dan penghormatan terhadap Institusi Diraja yang menjadi lambang kedaulatan negara selain lambang pendirian tegas.

”Kami turut menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menggesa agar keadilan diberikan kepada Najib dan titah addendum itu dilaksanakan tanpa sebarang lengah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Menurut Mohd Kamil, semua pihak termasuk AGC, mahkamah dan kerajaan perlu menjunjung prinsip pengasingan kuasa serta menghormati kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, Pemuda UMNO Pahang akan terus istiqamah dalam memperjuangkan keadilan dan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama mempertahankan prinsip tersebut serta institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tiang seri negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast