Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara boleh diperkukuhkan lagi, perniagaan dapat berkembang dan kehidupan rakyat boleh diperbaiki sekiranya kerajaan dapat membekukan atau menangguhkan semua kenaikan caj utiliti dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, dalam persekitaran ‘perang tarif’ yang tidak menguntungkan kini, hanya segelintir negara yang masih meneruskan kenaikan caj utiliti atau pengenaan cukai tambahan.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara tersebut dapat dibincangkan bersama pemimpin tertinggi kerajaan dan ahli-ahli Parlimen kerajaan minggu hadapan, supaya kerajaan dapat mempertimbangkan pembekuan atau penangguhan terhadap kenaikan caj utiliti dan cukai SST sehingga isu ‘perang tarif’ dapat diselesaikan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, daripada 3 peratus kepada 2.75 peratus.

“Langkah ini merupakan berita baik buat perniagaan dan isi rumah yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan cukai.

“Oleh itu, pembekuan atau penangguhan terhadap kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus kepada perniagaan serta cukai tambahan RM10 bilion akibat perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 amat diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi kadar tarif timbal balik (RT) sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Guan Eng, ekonomi negara terus menunjukkan ketahanan dengan kadar inflasi menurun kepada 1.2 peratus setakat Mei lalu, terendah dalam tempoh 51 bulan dan kadar penyertaan tenaga buruh mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 70.8 peratus.

Namun, katanya, realiti di lapangan menunjukkan ramai perniagaan dan isi rumah masih mengadu mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, manakala pendapatan pula tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian termasuk bayaran balik pinjaman.

Ujarnya, BNM menyatakan bahawa keseimbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung ke arah negatif, disebabkan terutamanya oleh kelembapan perdagangan global, sentimen yang lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sehubungan itu, jelas beliau, pengurangan OPR penting untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi domestik memandangkan ketidaktentuan perkembangan luaran yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.

“Jelas bahawa ketidaktentuan yang dimaksudkan oleh BNM merujuk kepada pelaksanaan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat yang dijangka berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.

“Tiada siapa yang akan membantah bahawa pengurangan OPR ini merupakan langkah awal yang wajar bagi mengekalkan laluan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam suasana inflasi yang sederhana,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast