KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memberi jaminan bakal membela nasib seorang remaja didakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang individu bergelar ustaz selebriti.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mendedahkan ustaz terbabit mendekati remaja yang minat dengan nasyid atas alasan mahu membimbingnya.
Namun dakwanya, tindakan ustaz tidak bermoral itu terbongkar di sebuah bilik hotel ketika membawa mangsa ke negeri lain, kononnya bagi menghadiri persembahan nasyid.
“Adik tak rasa curiga, sebab dia percaya – dalam fikirannya, ustaz itu adalah insan yang baik, dihormati, dan tokoh pembimbing agama. Namun, malam itu segalanya berubah.
Jelasnya, laporan polis juga telah dibuat sejurus selepas kejadian.
Nurul Izzah berkata, keluarga mangsa dimaklumkan sudah ada beberapa laporan polis lain terhadap suspek sebelum ini namun yang menghairankan apabila tidak ada tindakan tegas diambil.
“Kenapa tiada tindakan diambil sejak laporan pertama? Kenapa pemangsa ini masih bebas dan terus menjadikan gelaran ‘ustaz’ sebagai topeng untuk meneruskan kejahatannya?
Katanya, kisah mereka tidak tamat di situ kerana beberapa hari lalu, keluarga ini pula disaman fitnah oleh ustaz tersebut bernilai ratusan ribu ringgit, selain meminta keluarga ini membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran akhbar,” tambahnya.
Sedangkan, katanya, remaja berkenaan mengalami trauma hingga prestasi pelajarannya kian merosot.
“Tetapi kini…Dia trauma. Dia perlu rawatan kaunseling bulanan. Dia bergantung pada ubat. Keputusan pelajarannya menjunam,” tambahnya.
Sehubungan itu, Nurul Izzah nekad mahu membela memperjuangkan keadilan untuk remaja itu dengan membawa peguam untuk membelanya di muka pengadilan melawan ustaz yang terlibat.
“Remaja yang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang cikgu kini mengalami trauma mendalam, perlu mendapatkan rawatan kaunseling secara berkala dan bergantung kepada ubat-ubatan, selain prestasi akademiknya turut merosot.
“Saya tidak akan berundur walau selangkah. Saya akan bawa pasukan peguam, saya akan pastikan adik ini dilindungi dan keadilan itu akhirnya berpihak kepada yang benar, insya-Allah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

















daam pkr pun banyak musang berbulu ayam cthnya piji. tak payahlah sibuk pasal musang tempat lain