Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berucap ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa Tahun 2025 di UTM Hotel dan Residence, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan budaya ‘politik khidmat’ di mana-mana kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meskipun tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya.

Setiausaha Agung (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, meskipun UMNO sukar memenangi kawasan bandar, namun parti Melayu itu masih menjadi tempat rujukan kepada pengundi Melayu.

“Politik UMNO dalam kawasan bandar ialah politik khidmat, kita tahu ada kawasan-kawasan tertentu untuk membasmi kemiskinan, menyediakan peluang-peluang pendidikan dan membantu mereka yang memerlukan dalam pelbagai perkara.

“Jadi hal-hal ini yang kita perlu teruskan, politik khidmat itu sangat mustahak kepada parti UMNO kita.

“Meskipun ada kawasan-kawasan dalam Wilayah Persekutuan kita bertanding, mungkin kita tidak menang, tetapi politik khidmat itu mesti diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berucap ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa Tahun 2025 di UTM Hotel dan Residence, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2025

 

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025 di UTM Hotel & Residence.

Selain itu, katanya, meskipun kawasan tertentu di bandar dimenangi rakan komponen Kerajaan Perpaduan, namun ia tidak menghalang kepada UMNO untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

“Ada kawasan kita berikan kepada komponen kita untuk bertanding bagi kawasan berkenaan, namun sehingga kini politik khidmat itu diteruskan kerana ia merupakan teras utama parti UMNO.

“Ia bersesuaian dengan slogan UMNO iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast