KUALA LUMPUR – Bicara saman Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. terhadap Kerajaan Malaysia dan satu lagi bagi menuntut ganti rugi RM1 billion, diteruskan pendengarannya di Mahkamah Tinggi di sini.
Perkara itu diputuskan selepas Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan kerajaan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan terdapat isu yang wajar dibicarakan dalam kes itu terutamanya berkaitan perjanjian 2022 yang dipertikaikan.
Pada 27 Mac lalu, Hydroshoppe (plaintif pertama) dan anak syarikatnya MKLSB selaku plaintif kedua menyaman kerajaan dan empat defendan lain berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL.
Turut dinamakan sebagai defendan, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd.

Pada prosiding hari ini, mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan ketiga-tiga syarikat itu untuk membatalkan saman berkenaan.
Mahkamah berpuas hati, Hydroshoppe dan MKLSB gagal mengemukakan butir-butir yang mencukupi berhubung dakwaan ketiga-tiga defendan (syarikat) melanggar sebarang kewajipan berkaitan amanah yang diberikan.
“Tuduhan serius seperti ketidakjujuran memerlukan pengakuan dan fakta konkrit, bukan kesimpulan atau dakwaan undang-undang semata-mata. Tiada langsung dalam pernyataan tuntutan plaintif yang menyatakan secara khusus berkaitan tuduhan itu terhadap syarikat berkenaan.
“Tuntutan terhadap ketiga-tiga defendan tidak dapat dipertahankan,” ujarnya serta mengarahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada ketiga-tiga syarikat itu.
Hakim Roz Mawar juga menolak permohonan Hydroshoppe dan MKLSB untuk meminda pernyataan tuntutan terhadap Fahmi dan kerajaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 November ini untuk pengurusan kes.
Dalam pernyataan tuntutannya, kedua-dua plaintif mendakwa Hydroshoppe sebelum ini dilantik oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) mengendalikan Menara KL.
Dakwa plaintif, kerajaan menamatkan perjanjian tersebut secara salah pada November 2022 dan memberikan konsesi pengurusan menara itu kepada LSH Service Master Sdn Bhd pada Mei tahun lalu.
LSH Service Master adalah syarikat usaha sama antara LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Pernyataan tuntutan itu menyatakan, Hydroshoppe dan anak syarikatnya memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perjanjian 2022 yang dimeterai dengan kerajaan sebagai masih sah dan mengikat.
Menurut pernyataan itu, plaintif-plaintif berkata, mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022.
“Ganti rugi am yang akan ditaksir, yang dianggarkan melebihi RM1 bilion,” kata plaintif dalam pernyataan tuntutannya.
Plaintif-plaintif turut mahukan defendan-defendan secara bersama atau berasingan membayar sejumlah RM17.4 juta sebagai kerugian berkaitan perbelanjaan VM Lab.
Turut dipohon, ganti rugi berjumlah RM2.6 juta berkaitan pemberhentian pekerja plaintif kedua. – MalaysiaGazette
















